'Bubar Parlimen beza dengan Langkah Kajang dan Port Dickson'

Mohamed Sukri
Mohamed Sukri
A
A
A

SHAH ALAM - Cadangan blok pembangkang supaya membubarkan Parlimen bagi menyelesaikan kemelut politik negara pada masa ini adalah berbeza dengan proses 'Langkah Kajang' dan 'Langkah Port Dickson' yang dibuat sebelum ini.

Timbalan Ketua Pemuda Pas Selangor, Mohamed Sukri Omar berkata, Langkah Kajang dan Langkah Port Dickson yang dibuat sebelum ini adalah bagi mengadakan pilihan raya kecil (PRK) demi keinginan rakus seseorang untuk mendapatkan jawatan.

Bagaimanapun beliau berkata, langkah pembubaran Parlimen yang dicadangkan adalah aspirasi rakyat yang kebanyakannya mahukan kerajaan lebih baik tanpa pembabitan daripada parti DAP.

"Pemuda Pas Selangor membidas kenyataan Pengarah Komunikasi Parti Amanah Negara (Amanah), Khalid Abdul Samad yang menyatakan kesepakatan kononnya berlaku pembaziran jika Parlimen dibubarkan dalam kemelut melanda negara pada hari ini.

"Tidakkah beliau lupa bagaimana dahulu Langkah Kajang dan juga Langkah Port Dickson diadakan bagi memastikan PRK demi semata-mata kerakusan individu yang memburu jawatan?

"Pembubaran Parlimen dalam kemelut negara berbeza dengan langkah sumbang sebelum ini," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Sebelum ini, gabungan blok pembangkang mencapai kata sepakat bahawa Parlimen harus dibubarkan dan syor berkenaan telah pun dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa berkata, syor berkenaan sebagai satu bentuk keadilan kepada sistem demokrasi dan mandat perlu dikembalikan semula kepada rakyat bagi menyelesaikan kemelut politik yang melanda negara ketika ini.

Artikel Berkaitan:

ARTIKEL BERKAITAN: UMNO, Pas tarik balik sokong PM, syor bubar Parlimen

Mengulas lanjut, Mohamed Sukri berkata, Pas sentiasa tegas bagi membentuk sebuah kerajaan baharu tanpa penglibatan DAP yang dilihat lebih mengundang mudarat dan hanya menjadi liabiliti.

"Apa makna mengulangi kerajaan Pakatan Harapan (PH) sebelum ini yang sudah memualkan rakyat dengan pelbagai isu berlanjutan tanpa kesudahan.

"Sudah pasti keinginan rakyat masa kini ialah kerajaan baharu yang lebih baik daripada kerajaan PH sebelum ini tanpa keterlibatan DAP," katanya.