PKR Kuala Selangor nafi dakwaan ugutan jenayah, hanya drama politik

Thiban ketika berucap dalam Mesyuarat Agung Tahunan Cabang PKR Kuala Selangor pada 1 Mac lalu. Foto Facebook Thiban Subbramaniam
Thiban ketika berucap dalam Mesyuarat Agung Tahunan Cabang PKR Kuala Selangor pada 1 Mac lalu. Foto Facebook Thiban Subbramaniam
A
A
A

KUALA SELANGOR - Parti Keadilan Rakyat (PKR) Kuala Selangor menafikan dakwaan seorang wanita menerima ugutan jenayah semasa Mesyuarat Agung Tahunan Cabang (MATC) parti itu pada Sabtu lalu.

Ketua Cabangnya, Thiban Subbramaniam sebaliknya mendakwa, kejadian itu hanya drama politik sengaja dimainkan oleh wanita terbabit yang juga pemimpin pemuda parti untuk meraih sokongan anggota.

"Mereka datang ke dewan dengan kumpulan kecil sekitar 10 orang termasuk pelajar sekolah berumur lingkungan 15 tahun. Sebenarnya, budak bawah umur tidak dibenarkan masuk tetapi mereka duduk dalam dewan dan cuba membuat bising serta provokasi ketika saya berucap.

"Mereka juga menggunakan kata-kata kesat dan bertindak keluar dari dewan. Jadi, seorang lelaki anggota parti bertanya mengenai tindakan wanita ini sedangkan telah disediakan ruang untuk bertanya soalan dan di sini bermula kekecohan.

"Dia tuduh lelaki ini bawa gengster dan parang tetapi sebenarnya tiada pun, mungkin sebab dia tahu orang ramai tengah rakam video termasuk budak tadi dan buat provokasi supaya lelaki tadi pukul dia...saya rasa dia banyak tengok filem Tamil," katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.

Sebelum ini, tular beberapa klip video di media sosial memaparkan insiden kekecohan seorang wanita dan mendakwa menerima ugutan jenayah daripada salah seorang lelaki ketika mesyuarat cabang PKR Kuala Selangor pada 1 Mac lalu.

Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Superintenden Azaharudin Tajudin mengesahkan menerima laporan daripada wanita terbabit.

Mengulas lanjut, Thiban berkata, kekecohan itu dipercayai sengaja dilakukan kerana tergugat dengan kedudukan selepas cabang parti itu dibubarkan.

"Saya rasa mungkin dia mahu masuk dalam pemilihan sekarang kerana apabila cabang dibubarkan, dia perlu bertanding semula dan dapatkan sokongan anggota.

Artikel Berkaitan:

"Mungkin dia rasa kedudukan tergugat dan perlu melakukan sesuatu dengan mencipta kekecohan kononnya bawa parang mahu tetak dia untuk meraih sokongan," ujarnya.

Dalam pada itu, Thiban berkata, pihaknya telah membuat laporan polis terhadap wanita terbabit termasuk pemilik akaun Edisi Siasat yang didakwa menyebarkan fitnah dan mengaitkan dirinya dengan Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli.

"Saya tidak tahu motif mereka letak nama saya sebagai pegawai khas Rafizi sedangkan ia jawatan pada dua tahun lepas.

"Saya sudah buat laporan polis di Ibu Pejabat Daerah (IPD) Kuala Selangor semalam (Isnin) dan mereka sedang siasat kes ini. Saya percaya dalam hasil siasatan akan tahu betul ke ada orang bawa parang kerana saya sudah maklum pada polis jika benar, boleh teruskan tindakan, tiada masalah.

"Saya serahkan kepada pihak polis untuk melakukan siasatan lanjut," ulasnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!