Noor Azlan nafi dakwaan pelantikan dua naib canselor tidak ikut prosedur

SHAH ALAM - Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pemilihan Naib Canselor Universiti Awam (JKTPNCUA), Profesor Tan Sri Datuk SeriDr Noor Azlan Ghazali menafikan tohmahan membabitkan isu pelantikan dua Naib Canselor (NC) iaitu Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) dan Universiti Malaysia Kelantan (UMK).
Menurutnya, ia susulan satu kenyataan yang mengaitkan pemilihan kedua NC tersebut tidak mengikuti proses saringan dan temuduga sebelum pelantikan dibuat.
“Saya selaku JKTPNCUA turut bertindak sebagai pengerusi temuduga pemilihan NC ingin menyangkal dakwaan berkenaan.
"Posting yang mengatakan lantikan NC UMPSA dan UMK tidak mengikut proses adalah SALAH, satu tuduhan melulu yang tidak berasas.
“Saya mengalu-alukan pandangan konstruktif untuk meningkatkan kecemerlangan pendidikan tinggi negara, namun kenyataan yang salah ini perlu diperbetulkan.
“Pemilihan NC UMPSA, UMK dibuat dengan teratur mengikut garis panduan terkini yang ada dan untuk makluman, semua proses pemilihan adalah sangat terperinci serta intensif,” katanya menerusi satu kenyataan pada Sabtu.
Sebelum ini, Profesor Dr Yatimah Alias dilantik sebagai NC UMPSA bagi tempoh dua tahun berkuat kuasa pada Jumaat.
Profesor Dr Arham Abdullah pula, dilantik sebagai NC UMK yang ketujuh, berkuat kuasa pada 16 Februari 2025.
Dalam pada itu, Noor Azlan berkata, saringan pertama pemilihan telah dibuat oleh Lembaga Pengarah Universiti (LPU) universiti berkenaan.
“Saya mengetuai lawatan libat urus JKTPNCUA selama dua hari di UMPSA dan UMK. JKTPNCUA bertemu serta mendapatkan maklum balas mengenai universiti berkenaan daripada tujuh kumpulan wakil pemegang taruh universiti, iaitu LPU dan Pentadbiran, Senat, Pensyarah Muda, Alumni, Rakan Industri, Persatuan Berkaitan (Akademik, Pentadbir dan Pelaksana) serta Perwakilan Pelajar.
“Seterusnya, saringan kedua dibuat oleh JKTPNCU. Pada peringkat ini input tambahan diperolehi daripada proses profiling kepimpinan Universiti Awam (UA) secara terperinci yang dibuat oleh Akademi Kepimpinan Pendidikan Tinggi (AKEPT). Calon-calon disenarai pendek seterusnya dipanggil untuk di temubual dan ia dihadiri bersama oleh Pengerusi LPU serta dua wakil Senat UMPSA dan UMK.
“Sepanjang proses ini, JKTPNCU mewujudkan ‘pool’ calon-calon yang berwibawa. Saya mengesahkan kedua-dua NC baharu UMPSA dan UMK telah ditemubual oleh pihak kami,” ujarnya.
Tambah beliau, penubuhan JKTPNCU adalah mengikut lunas undang-undang yang telah diperuntukkan dalam perenggan 4A Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU).
“Proses pemilihan Naib Canselor adalah melalui Jawatankuasa yang saya sendiri pengerusikan untuk menasihati Menteri berdasarkan kaedah yang saya jelaskan.
“Menteri akan memilih salah seorang calon untuk dilantik sebagai NC berdasarkan peruntukan undang-undang dalam Bahagian I, Seksyen 9 (1), Akta Universiti Kolej Universiti (AUKU),” kata beliau.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!