[VIDEO] 'Tengok lauk ikan keli pada Ramadan, teringat Muslim'

A
A
A

KUALA KEDAH - Kehadiran Ramadan tahun ini memberikan rasa sayu buat Siti Ramlah Samsuri, 43, ibu tiri kepada Muhammad Muslim Mohd Zaini, 23, yang meninggal dunia dalam kebakaran rumah di Tongkang Yard, Alor Setar pada 21 Januari lalu.

Menurut Siti Ramlah, sejak pemergian anak ketujuh daripada lapan beradik itu, dia tidak lagi bersemangat untuk memasak seperti dahulu kerana setiap hidangan yang disediakan pasti mengingatkannya kepada arwah.

“Setiap kali tengok lauk ikan keli, saya terus teringat pada arwah anak, Lim sebab itu makanan kegemarannya terutama pada bulan Ramadan,” katanya ditemui selepas menziarahi pusara anak tirinya itu di Tanah Perkuburan Islam Masjid As-Salam, Tambak Bunga di sini pada Isnin.

Jelas Siti Ramlah, setiap kali Aidilfitri juga, arwah pasti akan pulang ke rumahnya di Jalan Tambak Bunga bersama rakan-rakannya untuk menikmati lontong, juadah kegemarannya.

“Kalau balik, dia selalu ajak kawan-kawannya sekali. Saya akan sediakan lontong sebab dia suka sangat. Tapi tahun ini, saya rasa sayu sebab dia sudah tiada,” katanya sebak.

Mohd Zaini menunjukkan gambar Allahyarham Muhammad Muslim yang maut dalam kebakaran rumah di Tongkang Yard, Alor Setar, pada 21 Januari lalu.
Mohd Zaini menunjukkan gambar Allahyarham Muhammad Muslim yang maut dalam kebakaran rumah di Tongkang Yard, Alor Setar, pada 21 Januari lalu.



Muhammad Muslim yang dijaga Siti Ramlah sejak berusia enam tahun sangat rapat dengannya, malah memanggilnya ‘emak’ seperti anak kandung sendiri.

“Saya ada tujuh lagi anak tiri, tapi Muslim paling rapat dan manja dengan saya. Dia juga sangat baik dengan adik kandungnya, Naila Kasniza Zaini, 15, walaupun berlainan ibu,” ujarnya.

Lebih menyedihkan, tiga hari sebelum tragedi, Siti Ramlah berkata, dia mengalami mimpi buruk yang masih menghantui fikirannya sehingga kini.

Menurutnya, kaki dia berasa lemah selepas mendapat khabar Muhammad Muslim maut dalam kejadian kebakaran tersebut sehingga teringat kembali kepada mimpi tersebut.

Artikel Berkaitan:

“Saya mimpi kaki saya terbakar dan hitam. Walaupun hanya mimpi, saya jadi takut sangat sampai demam. Tak sangka itu petanda Muslim akan pergi dalam kebakaran,” katanya.

Allahyarham Muhammad Muslim.
Allahyarham Muhammad Muslim.

Pada hari kejadian, Muhammad Muslim ditemukan rentung bersama bapa angkatnya, Ibrahim Mydin, 61, dalam rumah yang dipercayai dibakar.

Pengecaman identiti hanya dapat disahkan melalui ujian asid deoksiribonukleik (DNA) yang dilakukan pada 4 Februari lalu selepas dua minggu kejadian berlaku.

Sementara itu, bapa arwah, Mohd Zaini Hashim, 63, mengakui pemergian Muhammad Muslim meninggalkan kesan mendalam dalam hidupnya.

Setiap hari, dia akan ke pusara anaknya untuk membersihkan kubur dan membacakan doa buat arwah.

“Muslim anak yang baik, tak pernah melawan cakap orang. Dia mungkin jadi mangsa sebab nak tolong bapa angkatnya dalam kejadian itu. Tapi saya reda sebab itu sudah suratan takdir,” katanya.

Tambahnya, kenangan terakhir bersama anaknya adalah sehari sebelum kebakaran, ketika arwah datang ke rumah neneknya bagi membantu membersihkan rumah untuk majlis pertunangan sepupunya.

Dari kanan, Mohd Zaini, Naila Kasniza dan Siti Ramlah semasa menziarahi pusara Allahyarham Muhammad Muslim di Tanah Perkuburan Islam Masjid As-Salam, Tambak Bunga, Kuala Kedah pada Isnin.
Dari kanan, Mohd Zaini, Naila Kasniza dan Siti Ramlah semasa menziarahi pusara Allahyarham Muhammad Muslim di Tanah Perkuburan Islam Masjid As-Salam, Tambak Bunga, Kuala Kedah pada Isnin.

“Kalau bulan puasa, dia selalu bantu ibu saudaranya berniaga dan gunakan upah itu untuk menyara kehidupannya sendiri. Dia memang pandai berdikari, tapi kehilangannya tetap perit untuk diterima,” katanya sebak.

Pada 3 Februari lalu, dua penganggur dihadapkan ke Mahkamah Majistret Alor Setar atas tuduhan membunuh Ibrahim dan anak angkatnya, Muhammad Muslim dalam satu kejadian di Jalan Kota Tanah berhampiran Tongkang Yard, Alor Setar.

Tertuduh, Mohd Fitri Saiful Rizuan Musa, 29, dan Muhammad Haizan Abdul Rahim, 19, mengangguk faham ketika pertuduhan terhadap mereka dibacakan di hadapan Majistret Nur Syifa Mohd Hamzah.

Bagaimanapun, tiada sebarang pengakuan direkodkan daripada kedua-dua tertuduh dan mahkamah menetapkan tarikh 14 Mei depan untuk sebutan semula sementara menunggu laporan forensik.

Mohd Fitri merupakan anak saudara salah seorang mangsa,manakala Muhammad Haizan adalah kenalannya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!