'Jangan bimbang, abang sayang ayah dan emak'

Mohd Zaini bertemu anaknya, Muhammad Muslim kali terakhir pada Isnin lalu. Gambar kecil: Muhammad Muslim
Mohd Zaini bertemu anaknya, Muhammad Muslim kali terakhir pada Isnin lalu. Gambar kecil: Muhammad Muslim
A
A
A

ALOR SETAR - Allahyarham Muhammad Muslim Mohd Zaini, 23, yang rentung dalam insiden kebakaran di Tongkang Yard, dekat sini pada awal pagi Selasa, telah 'muncul' dalam mimpi adiknya pada malam Khamis dengan membawa pesanan.

Bapanya, Mohd Zaini Hashim, 63, memberitahu, mereka sekeluarga sebak sebaik sahaja anak bongsunya, Naela Kasniza,15, menceritakan mimpi tersebut.

“Arwah Lim (Muhammad Muslim) datang melalui mimpi pada malam itu. Dia beritahu jangan bimbang, abang sayang ayah dan emak,” katanya ketika dihubungi pemberita pada Jumaat.

Mohd Zaini berkata, Muhammad Muslim rapat dengan ibu tirinya, Siti Ramnah Samsuri, 43, selepas ibu kandungnya seorang mualaf meninggal dunia pada Februari tahun lalu.

Dia merasakan Muhammad Muslim datang dalam mimpi adiknya untuk memberitahu arwah sayangkan dirinya dan ibu tiri.

“Jenazah sekarang masih lagi berada di Jabatan Forensik Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) dan kami masih menunggu laporan keputusan asid deoksiribonukleik (DNA),” ujarnya.

Katanya, sampel darahnya diambil pada Rabu lalu di HSB dan sudah dihantar ke makmal Jabatan Patologi di Pulau Pinang bersama cebisan jasad Muhammad Muslim untuk dianalisa.

Tambahnya, selepas mendapat laporan dan pengesahan daripada polis, mereka sekeluarga akan dibenarkan untuk menuntut jenazah dan dikebumikan dengan segera di Masjid Tambak Bunga, As Salam, Jalan Kuala Kedah.

Artikel Berkaitan:

“Jenazah akan dikebumikan berhampiran kubur neneknya, Mahtom Abu yang meninggal dunia akibat kencing manis tahun lalu.

“Sebelum menetap bersama bapa angkatnya (Ibrahim Mydin, 61,) Muhammad Muslim tinggal bersama arwah neneknya di Tambak Bunga, Jalan Kuala Kedah.

"Arwah adalah anak ketujuh daripada lapan beradik, hasil perkahwinan ketiga bersama arwah ibunya yang juga warga Thailand,” katanya lagi.

Dalam pada itu, Mohd Zaini turut dimaklumkan hasil laporan bedah siasat mendapati ketika insiden itu, Muhammmad Muslim masih bernyawa sebelum terbakar dan rentung.

Katanya, mereka sekeluarga menyerahkan sepenuhnya kepada polis dan akan beri kerjasama untuk menjalankan siasatan.

"Saya masih rasa terkilan sebab kali terakhir dapat jumpa arwah pun sekejap saja pada Isnin dalam keadaan sihat namun pada esoknya dia sudah tiada," luahnya.

Sebelum ini media melaporkan, dua lelaki ditemukan rentung dalam sebuah rumah di Tongkang Yard, pada awal pagi Selasa lalu.

Polis mengesahkan identiti dua mayat itu adalah Muhammad Muslim Mohd Zaini, 23, dan bapa angkatnya, Ibrahim Mydin, 61, selepas menahan lima lelaki berusia 19 hingga 53 tahun termasuk seorang daripadanya anak saudara Ibrahim yang disyaki terbabit melakukan perbuatan itu.

Kes tersebut telah disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan kejadian dipercayai berpunca akibat dendam.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!