'Jika mangsa rentung itu Muhammad Muslim, saya reda'

ALOR SETAR - "Saya tunggu keputusan asid deoksiribonukleik (DNA) serta laporan lanjut daripada pihak polis terlebih dahulu jika benar salah satu mangsa rentung itu adalah anak saya," kata Mohd Zaini Hashim, 63.
Bapa kepada Muhammad Muslim Mohd Zaini, 23, berkata, rumah yang terbakar di Kampung Tongkang Yard, dekat sini pada awal pagi Selasa didiami anaknya bersama bapa angkat, Ibrahim Mydin, 61.
Menurutnya, dia telah menghubungi telefon bimbit Muhammad Muslim beberapa kali namun tidak dijawab sejak pagi.
"Saya dapat tahu pada jam 7 pagi dan dua mangsa ditemui rentung dalam kejadian kebakaran rumah ini.
"Saya tengok keadaan mayat tapi sukar buat pengecaman sebab mata saya kabur. Saya serahkan siasatan pada pihak bomba dan polis sehinggalah identiti mangsa itu disahkan. Jika itu anak saya, saya reda," ujarnya.
Mohd Zaini berkata, kali terakhir dia bertemu anaknya itu pada jam 11 pagi, Isnin di rumah neneknya di Kuala Kedah.
Menurutnya, Muhammad Muslim pulang membantu ibu saudaranya membersihkan kawasan rumah bagi persiapan pertunangan sepupunya pada 31 Januari ini.
"Bila berlaku kebakaran hari ini, saya sedih kerana bimbang itu adalah mayat anak saya kerana hanya mereka berdua tinggal di rumah itu," katanya.
Sementara itu, Mohd Akram Ibrahim, 32, anak kepada Ibrahim pula berkata, dia mengetahui kejadian tersebut apabila dihubungi oleh orang awam pada jam 7.30 pagi.
Menurutnya, kali terakhir dia bertemu bapanya pada jam 11 malam, Isnin di rumah itu dan bersembang kira-kira satu jam setengah.
"Saya macam tak percaya kerana bapa seorang yang berjaga-jaga dengan persekitaran rumahnya.
"Ayah ada penyakit asma dan rumah ini rumah pusaka dan ayah tinggal di sini sejak berpisah dengan ibu dan saya kadang-kadang datang sini," katanya.
Pada Selasa, dua mangsa ditemukan rentung dalam kebakaran yang memusnahkan sebuah rumah dua tingkat berhampiran Jalan Kampung Tongkang Yard.
Pegawai operasi kanan Jabatan Bomba dan Penyelamat Kedah, Penguasa Bomba Kanan I Azhar Mohamad berkata, mangsa yang rentung berusia 61 dan 23 tahun.
Mayat mangsa kemudian dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah, dekat sini untuk bedah siasat dan polis sedang menyiasat sama ada terdapat unsur jenayah dalam kejadian ini.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!