Pahang meterai MoU bersama KPKT, sasar percepat bina rumah PRR

KUALA LUMPUR - Kerajaan Pahang menyasarkan untuk mempercepatkan proses pembinaan rumah di bawah Program Residensi Rakyat (PRR) di negeri itu dengan termeterainya memorandum persefahaman (MoU) bersama Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) pada Isnin.
Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, MoU tersebut akan membolehkan Kerajaan Persekutuan menyalurkan peruntukan terus kepada kerajaan negeri untuk pembinaan projek PRR di Pahang, pada masa depan.
Menurutnya, kerjasama berkenaan adalah langkah strategik untuk mempercepatkan projek pembinaan rumah PRR yang sangat dinantikan oleh rakyat.

“MoU ini akan memudahkan dan mempercepatkan proses pembinaan projek PRR kerana kelulusan tanah terletak di bawah kerajaan negeri.
"Sebelum ini, banyak projek PRR mengalami kelewatan disebabkan oleh peruntukan kewangan yang perlu diluluskan oleh Kerajaan Persekutuan dan kelulusan tanah yang berada di bawah bidang kuasa negeri,” jelas Wan Rosdy.
Beliau berkata demikian selepas menyaksikan majlis menandatangani MoU antara Kerajaan Negeri Pahang dan KPKT bagi penyerahan serta pengurusan rumah di bawah Program PRR di ibu negara, pada Isnin.
Pada majlis berkenaan, kerajaan negeri diwakili Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Zulkifli Yaacob, manakala KPKT diwakili Ketua Setiausahanya, Datuk M Noor Azman Taib.
Wan Rosdy berkata, MoU berkenaan adalah satu usaha yang sangat baik untuk memastikan projek PRR dapat dilaksanakan dengan lebih lancar, sekali gus memberi manfaat besar kepada rakyat yang memerlukan kediaman.
Berikutan itu, Wan Rosdy turut mengucapkan terima kasih kepada Menteri dan Ketua Setiausaha KPKT kerana mencetuskan idea berkenaan yang kini mendapat persetujuan kerajaan negeri, sekali gus memberi ruang untuk mempercepatkan pelaksanaan projek PRR di Pahang.

Ketika ditanya mengenai sasaran jumlah rumah yang bakal dibina pada tahun ini, Wan Rosdy menjelaskan bahawa kerajaan negeri tidak menetapkan sasaran tertentu.
Namun, beliau memaklumkan bahawa KPKT telah menyerahkan enam projek PRR yang melibatkan kira-kira 700 unit rumah untuk ketua isu rumah di beberapa daerah di Pahang.
"Rumah adalah salah satu keperluan asas dan permintaannya sentiasa tinggi. Setiap tahun, keperluan untuk pembinaan rumah baru semakin meningkat," ujarnya.
Beliau turut menjelaskan bahawa di Pahang, selain PRR, terdapat banyak lagi projek pembinaan perumahan rakyat yang sedang dijalankan termasuk Rumah Rakyat Pahang, Rumah Makmur, Projek Program Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) dan terbaharu, Pangsapuri Pahangku.
"Kos pembinaan setiap unit rumah PRR dianggarkan sekitar RM45,000. Untuk mendapatkan kemudahan ini, individu yang berminat perlu memenuhi syarat-syarat tertentu yang ditetapkan oleh KPKT dan kerajaan negeri.
"Kerajaan Pahang berharap inisiatif ini dapat memberikan akses perumahan yang lebih baik dan berpatutan kepada rakyat, sambil mempercepatkan pembinaan rumah yang amat diperlukan," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
