Tiada had masa peniaga Islam berniaga di Pulau Pinang

GEORGE TOWN - Waktu operasi perniagaan makanan bagi peniaga beragama Islam di Pulau Pinang pada bulan Ramadan tahun ini sama seperti bulan-bulan yang lain.
Timbalan Ketua Menteri I, Datuk Dr Mohamad Abdul Hamid berkata, tiada had waktu operasi perniagaan makanan bagi peniaga beragama Islam di negeri ini tidak seperti negeri lain yang bermula pada jam 3 petang.
Mohamad berkata, tiada halangan bagi peniaga makanan Muslim untuk membuka perniagaan mereka pada waktu pagi atau tengah hari.
"Sama seperti tahun lalu, di Pulau Pinang, kita tidak hadkan dari segi operasi bagi peniaga Islam untuk menjual makanan.
"Mereka boleh berniaga dari pagi namun dari sudut menghormati bulan Ramadan, orang awam tidak dibenarkan makan di khalayak ramai walaupun tergolong dalam uzur syarie.
"Jika ada, beli bawa balik dan makan di rumah," katanya ketika dihubungi pada Isnin.
Beliau menjelaskan, individu yang tergolong dalam golongan uzur syarie tetapi makan di khalayak ramai boleh dikenakan tindakan kerana dianggap tidak menghormati bulan Ramadan.
Menurutnya, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang (JHEAIPP) akan bertindak sekiranya menerima laporan mengenai premis yang beroperasi dalam keadaan mencurigakan.
“Bagaimanapun, jika pemilik premis menjalankan perniagaan seperti biasa tanpa pelanggan beragama Islam makan secara terbuka di dalam kedai, ia tidak dianggap sebagai satu kesalahan.
"Kedai makan (Islam) yang buka jam 9 pagi memang pelik tetapi dari segi penguatkuasaan operasi jualan, ia bukan satu kesalahan," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

