Pulau Pinang berpotensi besar jalin kerjasama dengan Kazakhstan

Hon Wai (tengah) menghadiri Forum Perniagaan Kazakhstan-Malaysia pada Rabu.
Hon Wai (tengah) menghadiri Forum Perniagaan Kazakhstan-Malaysia pada Rabu.
A
A
A

GEORGE TOWN - Pulau Pinang terkenal sebagai hab teknologi bertaraf global berpotensi besar untuk menjalinkan kerjasama dengan Kazakhstan dalam membangunkan teknologi digital serta perindustrian.

Exco Pelancongan dan Ekonomi Kreatif, Wong Hon Wai berkata, kepakaran negara dalam teknologi bandar pintar, kewangan digital dan inovasi teknologi maklumat mampu membantu Kazakhstan memperkukuh sektor berkenaan, selain membuka peluang lebih luas kepada pemain industri tempatan meluaskan pengaruh mereka di peringkat antarabangsa.

Menurutnya, Pulau Pinang bukan sahaja destinasi ideal untuk pelancong, malah merupakan lokasi utama untuk usaha perniagaan.

"Persekitaran yang pelbagai dan kosmopolitan, hubungan erat dengan Asia Tenggara serta daya tarikannya kepada pelancong Muslim menjadikan negeri ini destinasi terbaik untuk pelancongan, pelaburan dan kerjasama.

"Penerbangan terus antara Kuala Lumpur dan Almaty serta kemudahan sambungan ke Pulau Pinang, memastikan negeri ini mudah diakses pelancong dan pelabur perniagaan dari Kazakhstan," katanya ketika sidang akhbar selepas menghadiri Forum Perniagaan Kazakhstan-Malaysia di sini pada Rabu.

Turut hadir, Duta Besar Kazakhstan ke Malaysia, Bulat Sugurbayev dan Konsul Kehormat Kazakhstan di Pulau Pinang, Datuk Louis Ng.

Hon Wai (tengah) menerima cenderahati daripada Ng (kiri) dan Bulat Sugurbayev ketika menghadiri Forum Perniagaan Kazakhstan-Malaysia.
Hon Wai (tengah) menerima cenderahati daripada Ng (kiri) dan Bulat Sugurbayev ketika menghadiri Forum Perniagaan Kazakhstan-Malaysia.

Tambah beliau, Pulau Pinang mengiktiraf potensi dalam memperkukuh hubungan perniagaan antara Pulau Pinang dan Kazakhstan yang mana penekanan khusus diberikan kepada Konsul Kehormat Republik Kazakhstan di Pulau Pinang yang ditubuhkan Oktober 2023.

"Pencapaian ini mencerminkan komitmen bersama dalam memperkukuh hubungan antara kedua-dua negara, serta menyediakan asas kukuh memperluaskan kerjasama dalam perdagangan, perniagaan dan pelancongan.

Artikel Berkaitan:

"Gabungan unik infrastruktur moden, lokasi strategik dan komitmen terhadap kelestarian menjadikan negeri ini tempat ideal untuk pertumbuhan dan pembangunan dalam pelbagai industri, termasuk teknologi dan pelancongan," katanya.

Mengulas mengenai Forum Perniagaan Kazakhstan-Malaysia, Hon Wai berkata, forum tersebut menyediakan platform yang baik untuk meneroka potensi perdagangan serta pelaburan antara kedua-dua negara.

"Pulau Pinang yang dikenali sebagai ‘Mutiara Timur’ turut berpeluang memperluaskan kepakarannya ke Kazakhstan.

“Pulau Pinang terkenal dalam sektor pelancongan dan hospitaliti boleh menyumbang kepakaran dalam membangunkan infrastruktur pelancongan, amalan pelancongan lestari serta teknologi pelancongan seperti sistem tempahan dalam talian.

"Ini boleh membantu Kazakhstan meningkatkan daya tarikan kepada pelancong antarabangsa,” katanya.

Beliau menambah, secara keseluruhannya, forum tersebut membuka peluang luas kepada pelabur dan pemilik perniagaan tempatan untuk meneroka pasaran Kazakhstan yang pesat membangun sambil menyumbang pertumbuhan ekonomi negara itu.

Forum berkenaan menghimpunkan 80 peserta terdiri daripada pelabur serta pemilik perniagaan dari Kazakhstan dan Malaysia bagi meneroka pasaran luas serta peluang pelaburan dalam pelbagai sektor, termasuk teknologi, pembangunan, pembuatan, pelancongan, pendidikan, serta mineral dan perlombongan.

Sementara itu, Bulat Sugurbayev berkata, hubungan dagangan antara Malaysia dan Kazakhstan menunjukkan pemulihan yang kukuh selepas pandemik.

“Tahun ini, kami memperkenalkan lebih banyak peluang perniagaan di Kazakhstan untuk diterokai oleh pemain industri utama Malaysia, sekali gus mengukuhkan lagi hubungan ekonomi antara kedua-dua negara,” katanya.

"Kazakhstan menawarkan pelbagai peluang pelaburan yang menarik dengan potensi pulangan pelaburan yang tinggi, dipacu oleh kedudukan strategik negara serta ekonomi yang kaya dengan sumber asli dan dasar mesra pelabur," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!