Ammar turun pangkat bukan sebab isu kampung Cina - King Sing

SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Dakwaan penurunan pangkat Ketua Pengarah Lembaga Penggalakan Pelancongan Negara, Datuk Dr Ammar Abd Ghapar susulan tidak bersetuju dengan cadangan mengiktiraf kampung Cina disifatkan sebagai palsu dan berniat jahat.
Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), Datuk Seri Tiong King Sing berkata, isu berhubung pengiktirafan kampung Cina tidak pernah dibangkitkan kerana ia terletak di bawah bidang kuasa kementerian lain.
Beliau juga menolak dakwaan bahawa penurunan pangkat Ammar disebabkan tidak bersetuju dengan cadangan memansuhkan rumah inap desa dan memberi keistimewaan kepada pelancong negara China.
“Isu mengiktiraf kampung Cina tiada kaitan dengan MOTAC. Ia tidak terletak di bawah bidang kuasa kementerian dan tidak pernah dibangkitkan.
“Khabar angin memansuhkan sistem rumah inap desa adalah mengarut. Sebaliknya, MOTAC telah mengemukakan dasar berkaitan untuk kelulusan pada minggu lepas malah, pihak kami giat mempromosikan dan membangunkan program fasiliti berkenaan.
“Dakwaan bahawa pelancong China menerima layanan istimewa adalah tidak berasas. Kami giat mempromosikan pelancongan Malaysia di pelbagai wilayah termasuk China, ASEAN, Eropah dan Asia Barat,” katanya dalam hantaran di Facebook pada Isnin.
King Sing turut menolak dakwaan bahawa subsidi pelancongan hanya diberikan kepada syarikat milik orang Cina.
Menurut beliau, semua dasar subsidi oleh MOTAC dilaksanakan secara adil tanpa mengira latar belakang kaum pemilik perniagaan.
“Mana-mana syarikat yang layak boleh memohon dan tiada perkara seperti subsidi yang diperuntukkan berdasarkan kaum.
“Selain itu, apa yang dipanggil 'Insiden Laos' adalah rekaan sepenuhnya dan tidak mempunyai asas fakta. Kami tidak akan melayan dakwaan palsu tersebut,” ujarnya.
Beliau juga menafikan dakwaan bahawa Amar diturunkan pangkat kerana menteri tidak berminat dengan inisiatif hotel yang berlandaskan patuh syariah dan mesra muslim.
“Sepanjang tempoh perkhidmatannya, Ammar tidak pernah membangkitkan sebarang perbincangan mengenai hotel berlandaskan patuh syariah dan mesra muslim, jadi bagaimana boleh timbul persoalan tentang minat atau kekurangannya?
“Memandangkan tiada perbincangan sebegitu berlaku, tidak pernah ada sebarang penyimpangan daripada sebarang pembuatan keputusan mengenai perkara ini,” menurutnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!