Bayaran imam jangan berlebihan

SHAH ALAM - Pemberian imbuhan kepada imam solat tarawih adalah sesuatu yang dibolehkan dalam Islam, tetapi harus dikendalikan dengan penuh hikmah dan keikhlasan.
Mufti Pulau Pinang, Profesor Madya Datuk Dr Mohd Sukki Othman berkata, sekiranya bayaran yang ditawarkan terlalu tinggi sehingga menimbulkan unsur perebutan atau menjadikan solat tarawih sebagai satu perniagaan, maka ia bertentangan dengan ruh ikhlas dalam ibadah.
Menurut beliau, secara umum, majoriti ulama membenarkan pemberian imbuhan kepada imam dengan syarat ia tidak mengubah niat utama beribadah kepada ALLAH SWT.
“Dalam Islam, tugas sebagai imam merupakan satu amanah dan tanggungjawab besar. Dari sudut fiqah, terdapat perbincangan dalam kalangan ulama mengenai hukum menerima bayaran untuk ibadah seperti solat tarawih.
“Imam an-Nawawi dalam Al-Majmu' menyebut bahawa mengambil upah untuk mengajarkan al-Quran dan mengimamkan solat dibolehkan jika ia bertujuan memastikan kelangsungan tugas yang penting ini.
“Apa yang penting, kadar bayaran itu perlu bersifat munasabah dan tidak melampaui batas sehingga menyebabkan imam memilih tempat yang menawarkan bayaran paling tinggi berbanding fokus kepada amanah ibadah,” katanya.
Beliau berkata, setakat ini, tiada garis panduan khusus yang menetapkan kadar bayaran imam tarawih di Malaysia, namun pihak berkuasa agama negeri boleh menetapkan panduan berdasarkan pertimbangan kebajikan imam dan keadaan semasa.
Jelas beliau, sebagai penghormatan kepada imam, masyarakat Islam digalakkan untuk menghargai sumbangan mereka, sama ada melalui penghormatan moral atau sokongan kewangan yang berpatutan.
“Islam meletakkan kedudukan imam dalam masyarakat sebagai seorang yang dihormati kerana ilmu dan ketakwaannya. Imam bukan sekadar memimpin solat, tetapi juga membimbing masyarakat dari sudut ilmu dan akhlak.
“Namun penghormatan itu tidak seharusnya berlebihan sehingga mengundang sifat tamak atau persaingan tidak sihat,” tegasnya.
Tambah beliau, perkara yang lebih utama adalah memastikan imam yang dilantik benar-benar memenuhi kriteria ilmu dan akhlak yang tinggi, serta dapat berperanan dalam mendidik masyarakat ke arah kebaikan.
Sehubungan itu, pengurusan masjid mempunyai tanggungjawab untuk memastikan imam yang dilantik bukan sekadar mahir dalam bacaan al-Quran, tetapi juga berperanan sebagai pendidik masyarakat.
Antara langkah yang boleh diambil dengan memastikan imam mempunyai latar belakang pendidikan agama yang kukuh serta mewajibkan imam untuk menyampaikan tazkirah pendek sebelum atau selepas solat tarawih.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
