Pelajar hanya jadi imam, bayaran disalur kepada madrasah

Ali Ridha
Ali Ridha
A
A
A

PONTIAN - Pengalaman pertama mengimamkan solat tarawih ketika berusia 15 tahun di Surau Kampung Parit Marjunit di sini, merupakan kenangan paling berharga buat Ali Ridha Samad, 18, sebagai pelajar tahfiz.

Menurutnya, sejak usia 12 tahun dia telah mendalami pengajian tahfiz di Maahad Tahfiz Al-Quran Al-Marjunidy, namun menjadi imam solat tarawih adalah sesuatu yang cukup mencabar dan memberikan pengalaman baharu.

“Saya rasa gembira dan teruja sebab bukan semua orang dapat peluang ini. Ketika itu, saya bergilir-gilir dengan kawan untuk memimpin solat.

“Cabaran utama adalah menjaga hafazan dan mengawal rasa gemuruh. Kadang-kadang boleh terlupa ayat, jadi kena sentiasa ulang hafazan,” katanya.

Ali Ridha menjelaskan, juzuk yang dibacakan bergantung pada keadaan dan keperluan jemaah, terutama kerana ramai dalam kalangan mereka sudah berusia.

“Kebiasaannya, saya membaca surah-surah lazim dari Juzuk 30 seperti ad-Duha hingga an-Nas,” katanya.

Menurut Ali Ridha, pelajar tahfiz di madrasahnya tidak menerima bayaran secara individu, sebaliknya sumbangan diberikan kepada madrasah untuk kegunaan pelajar yang masih bersekolah.

“Ibu bapa akan dimaklumkan terlebih dahulu sebelum kami ditugaskan mengimamkan solat di luar madrasah.

“Pada tahun 2021, pelajar tahfiz di sini diberi peluang mengimamkan solat tarawih di sebuah surau di Rengit, Batu Pahat," katanya.

Artikel Berkaitan:

Bagi Ali Ridha, pengalaman mengimamkan solat tarawih sejak usia muda memberikannya keyakinan untuk terus berdakwah.

“Saya bercita-cita menjadi pendakwah bebas yang mungkin boleh menggunakan media sosial untuk menyampaikan dakwah kepada lebih ramai orang,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!