Jadi imam sejak usia 13 tahun

IPOH - Dua pelajar Kolej Poly-Tech Mara (KTPM) yang mengikuti program Pemerkasaan Huffaz telah dipilih untuk berbakti menjadi imam solat tarawih di sekitar Ipoh sepanjang Ramadan ini.
Pelajar Diploma Reka Bentuk Permainan (Game Design), Mohammed Hanef Hafizuddin, 21, berkata, pengalaman selama lapan tahun menjadi imam jemputan memberi kelebihan untuknya menggalas tanggungjawab mengetuai jemaah di Masjid Al-Ijtimaaiah, Taman Sri Kurau, Bercham di sini pada dua minggu terakhir Ramadan.
“Cabaran menjadi imam tidaklah besar kerana saya menjadi imam tarawih sejak usia 13 tahun sekitar Selangor. Kalau ada pun mengikut kehendak jamaah sama ada mahu mengerjakan solat sunat sebanyak lapan rakaat atau 20 rakaat.
“Untuk bacaan, saya tidak terlalu menekankan kepada taranum, sebaliknya lebih menumpukan bacaan yang jelas dan tartil (sempurna).
“Jika ada peluang, saya akan membaca surah dari juzuk satu hingga juzuk 10,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian.
Menyentuh mengenai bayaran, bekas pelajar tahfiz itu berkata, pihak masjid menyediakan bayaran sekitar RM1,000 untuk tempoh dua minggu itu.
“Jumlah itu adalah kadar yang biasa diterima dan paling tinggi adalah RM2,000 kerana saya masih belajar,” katanya.
Bagi Muhammad Amar Anas Muhd Isham, 19, peluang menjadi imam muda tarawih digunakan sebaik mungkin untuk menambah pahala beribadat sepanjang Ramadan.
“Ini pengalaman pertama saya, sudah tentu rasa berdebar mengetuai jemaah lain berbanding menjadi imam kepada rakan-rakan pelajar ketika bersekolah tahfiz sebelum ini.
“Saya merancang untuk mengalunkan surah dari juzuk satu hingga juzuk tujuh sepanjang tempoh 15 hari Ramadan dengan menekankan bacaan yang jelas dari segi taranum dan tajwid,” katanya.
Menurut pelajar Diploma Bisnes Digital itu, dia menerima bayaran sekitar RM1,000 dan dia mahu mengambil pengalaman itu untuk berbakti kepada masyarakat.
Khatam lebih 30 kali persediaan Ramadan
SENAWANG - Seorang pelajar Madrasah Tahfiz Khoirul Anam di sini, Mohd Yasin Ibramsa, 16, memberitahu dia telah membuat persiapan hafazan sebanyak 10 juzuk setiap hari bermula Subuh hingga Asar selain telah khatam lebih 30 kali al-Quran pada bulan Syaaban lalu.
Menurutnya, persiapan itu dibuat sebaik sahaja dia dimaklumkan terpilih menjadi imam tarawih di Surau Insaniah, Taman Bandar Senawang.
“Saya teruja sebab ini pengalaman pertama. Pihak madrasah memberi kepercayaan kepada saya untuk timba pengalaman agar hafazan yang dilakukan di madrasah dapat dipraktikkan di luar,” katanya.

Jelasnya, dia bersama seorang lagi imam akan membaca satu juzuk setiap hari sepanjang Ramadan.
Mengenai upah katanya, imam yang baru dilantik biasanya akan menerima wang sagu hati RM2,000 untuk sebulan.
“Jumlah upah bukan ukuran kerana diberi kepercayaan pertama kali imamkan solat tarawih adalah lebih berharga,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!