Perbuatan peraga amalan baik boleh diterima meskipun pelakunya mungkar

PU Amin
PU Amin
A
A
A

SHAH ALAM - Selagi sesuatu perbuatan itu membawa manfaat, ia perlu diterima walaupun datangnya daripada individu yang bersikap negatif, kata Pencetus Ummah (PU), Mohamad Amirul Amin Maula Lokman Hakim.

Beliau yang lebih dikenali sebagai PU Amin mengulas sikap sesetengah individu yang sering bersikap hipokrit melakukan amalan baik di platform media sosial demi meraih populariti, walaupun si pelaku berkenaan sering melakukan kemungkaran.

“Seseorang bersikap munafik atau hipokrit adalah individu yang berpura-pura di hadapan orang lain sedangkan mereka sendiri tidak mengamalkan perkara tersebut. Mereka melakukan sesuatu bukan kerana keikhlasan tetapi demi meraih pujian.

“Kita tidak perlu menyokong sikap individu seperti itu, namun apa sahaja kebaikan dilakukan wajar diterima,” katanya kepada Sinar Harian pada Sabtu.

Tambahnya, masyarakat juga perlu berfikiran matang dalam menilai sesuatu kebaikan kerana setiap amal baik tidak akan ditolak oleh ALLAH SWT.

“Penilaian sama ada seseorang itu benar-benar ikhlas atau munafik adalah urusan ALLAH SWT kerana hanya Dia berhak menentukan penerimaan sesuatu amalan. Apa yang boleh dinilai hanyalah perkara zahir seperti usaha mengajak orang lain ke arah kebaikan.

“Berdasarkan hadis, sesiapa yang melakukan kebaikan dan diikuti oleh orang lain, maka dia akan mendapat pahala sama seperti individu mengamalkannya,” ujarnya.

PU Amin turut berpandangan bahawa kehadiran pempengaruh atau artis dalam menyebarkan amalan baik seperti bersedekah amat penting bagi menghidupkan semangat melakukan kebaikan dalam masyarakat.

“Setiap kebaikan dipaparkan kepada umum boleh menjadi sumber inspirasi dan ikutan terutama jika amalan itu jarang dilakukan. Namun, jika seseorang melakukan kebaikan semata-mata untuk kandungan media sosial, dia berdosa kerana tidak mengamalkan apa yang disampaikan.

Artikel Berkaitan:

“Dalam al-Quran disebut bahawa perkara paling berat adalah apabila seseorang berkata atau menunjukkan sesuatu tetapi tidak melakukannya,” katanya.

Justeru, PU Amin berkata, individu perlu berhati-hati dalam perbuatan mereka dan menghindari sifat takbur serta riak dalam setiap amalan kebaikan dilakukan.

Sementara itu, Ustaz Muhammad Asyraf Mohd Ridzuan atau lebih dikenali sebagai Imam Muda Asyraf berkata, pendekatan terbaik dalam berdakwah dan menegur kesalahan bergantung kepada situasi, individu serta medium digunakan.

Imam Muda Asyraf
Imam Muda Asyraf

“Hikmah dalam menegur itu luas dan harus disesuaikan dengan keadaan. Hikmah itu ada pelbagai bentuk termasuk secara tegas atau lembut, bergantung kepada situasi dan individu.

“Sekiranya kesalahan itu dilakukan secara zahir, teguran boleh dibuat secara terbuka, tetapi jika ia melibatkan aib, lebih baik kita menegur mereka secara peribadi. Tujuan menegur bukan untuk menyakiti namun sebagai satu tanggungjawab,” jelasnya.

Myra Zainal
Myra Zainal

Pempengaruh media sosial dikenali Myra Zainal berkata, tidak semua kebaikan dipaparkan di layar kaca itu dianggap riak kerana segala tindakan bergantung pada keikhlasan dan niat individu.

“Selagi tujuan utama adalah untuk memberi manfaat tanpa unsur menunjuk-nunjuk, maka tidak salah berkongsi kebaikan. Dalam zaman di mana ramai tidak segan menonjolkan keburukan, mengapa kita harus malu menunjukkan kebaikan sedangkan ia boleh menjadi inspirasi kepada orang ramai?

“Rasulullah SAW pernah bersabda, yang terbaik di antara kalian itu adalah orang yang mampu memberi manfaat kepada orang lain,” katanya.

Myra turut berpandangan, seseorang itu tidak perlu sempurna untuk memberi teguran atau mengajak orang lain melakukan kebaikan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!