Sudah cukup tegas tangani buli?

KES Pegawai Kadet Laut Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), Zulfarhan Osman Zulkarnain telah menjadi titik perbincangan hangat dalam masyarakat, terutamanya selepas Mahkamah Persekutuan mengetepikan hukuman mati ke atas enam tertuduh dan mengekalkan hukuman penjara 18 tahun.
Keputusan ini menimbulkan pelbagai reaksi antara rakyat Malaysia, ada merasakan ia selari dengan prinsip keadilan perundangan dan ada juga menganggap hukuman itu tidak setimpal dengan kesengsaraan dialami mangsa.
Terdahulu, enam bekas pelajar UPNM terlepas hukuman mati selepas Mahkamah Persekutuan Putrajaya pada Jumaat mengetepikan hukuman gantung sampai mati kerana menyebabkan kematian Zulfarhan, lapan tahun lalu.
Panel tiga hakim dipengerusikan Hakim Besar Mahkamah Tinggi di Malaya, Datuk Seri Hasnah Mohamed Hashim memutuskan demikian selepas mengetepikan hukuman Mahkamah Rayuan dengan mengembalikan keputusan oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada tahun 2021.
Menyentuh berkenaan itu, peguam, Datuk Seri M Ramachelvam berkata, kesemua enam tertuduh yang dihukum penjara 18 tahun kerana membunuh tanpa niat dijangka selesai menjalani hukuman empat tahun lagi.
Ramachelvam mewakili perayu keempat, Muhammad Afif Najmudin Azahat, 29, berkata, semua bekas penuntut UPNM sepatutnya menjalani hukuman penjara 18 tahun, namun tempoh itu dikurangkan kepada 12 tahun sekiranya berkelakuan baik.
Perspektif undang-undang pula mengatakan, mahkamah menilai kes tersebut berdasarkan keperluan untuk membuktikan niat membunuh tanpa keraguan munasabah.
Oleh kerana elemen tersebut tidak dapat dibuktikan dengan jelas, hukuman yang lebih ringan dikenakan berbanding hukuman mati.
Sebelum ini, ibu kepada Zulfarhan, 62, Hawa Osman menyatakan, jika tertuduh datang meminta maaf, dia sedia memaafkan mereka, namun hakikatnya arwah tidak akan hidup kembali.
Ketika ditemui di luar mahkamah pada Jumaat di Mahkamah Persekutuan Putrajaya, raut wajah yang ditemani suaminya, Zulkarnain Idros kelihatan sugul selepas mendengar keputusan tersebut.
Kedua-duanya mengakui tidak menyangka mahkamah akan membenarkan rayuan terhadap kesemua tertuduh yang menyebabkan kematian anak mereka.
Bagi keluarga Zulfarhan, keputusan ini mungkin membawa kekecewaan kerana mereka mengharapkan hukuman yang lebih tegas terhadap pelaku.
Namun, dalam sistem keadilan jenayah, keputusan mahkamah tidak hanya berpandukan kepada emosi tetapi juga kepada bukti dan prinsip undang-undang.
Persoalannya, bagaimana mahu memenuhi tuntutan keadilan untuk semua pihak, bukan sahaja kepada tertuduh tetapi juga mangsa dan keluarga mereka?
Dalam aspek pencegahan, bagaimana kita boleh memastikan bahawa tragedi seperti ini tidak akan berlaku lagi di masa hadapan?
Adakah sistem pendidikan kita, terutamanya di institusi yang mempunyai elemen ketenteraan, sudah cukup tegas dalam menangani budaya buli?
Kes Zulfarhan membuka banyak persoalan yang memerlukan jawapan daripada kita sebagai masyarakat.
Persoalan paling besar dan perlu direnungkan ialah apa yang boleh dilakukan agar kes seperti ini tidak lagi menjadi sebahagian daripada realiti masyarakat kita?
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
