Hukuman mati enam penuntut UPNM bunuh Zulfarhan tukar jel 18 tahun

PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Seramai enam bekas pelajar Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) yang dihukum gantung kerana membunuh tanpa niat, Pegawai Kadet Laut, Zulfarhan Osman Zulkarnain lapan tahun lalu bernasib baik apabila Mahkamah Persekutuan di sini pada Jumaat memerintahkan mereka dijel 18 tahun.
Bekas penuntut yang kini berusia 29 tahun itu ialah Muhammad Akmal Zuhairi Azmal, Muhammad Azamuddin Mad Sofi, Muhammad Najib Mohd Razi, Muhammad Afif Najmudin Azahat, Mohamad Shobirin Sabri dan Abdoul Hakeem Mohd Ali.
Panel tiga hakim dipengerusikan oleh Hakim Besar Mahkamah Tinggi di Malaya, Datuk Seri Hasnah Mohamed Hashim memutuskan demikian selepas mengetepikan hukuman Mahkamah Rayuan di sini, dengan mengembalikan keputusan oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada tahun 2021 lalu.
Ketika membaca keputusan berkenaan, beliau yang bersidang bersama Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Nordin Hassan dan Datuk Abdul Karim Abdul Jalil berkata, mahkamah mendapati mereka bersalah mengikut Seksyen 304(a) Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kematian Zulfarhan tanpa niat untuk membunuhnya.
Hasnah berkata, keterangan saksi pendakwaan keenam (SP6), Dr Salmah Arshad yang merumuskan bahawa, kecederaan Zulfarhan lazimnya boleh menyebabkan kematian.
Beliau berkata, Dr Salmah dalam sesi pemeriksaan utama juga bersetuju bahawa luka terbakar dan kesan lecur meliputi 80 peratus badan Zulfarhan lazimnya boleh menyebabkan kematian.
“Bagaimanapun, ketika disoal balas oleh peguam, saksi bersetuju bahawa luka bakar tahap tiga itu tidak secara automatik mengakibatkan kematian.
“Mahkamah berpendapat, keterangan SP6 itu tidak dipatahkan oleh pihak pendakwaan pada sesi pemeriksaan semula,'' katanya.
Selain itu berliau berkata, mahkamah mendapati elemen kecederaan mangsa yang boleh menyebabkan kematian, tidak berjaya dibuktikan oleh pendakwaan melebihi tahap keraguan munasabah selain mangsa meninggal dunia 10 hari selepas kejadian.
Susulan itu beliau berkata, peruntukan Seksyen 300(c) Kanun Keseksaan tidak dapat disandarkan oleh pihak pendakwaan untuk membuktikan kesalahan membunuh.
Katanya, sabitan bagi kesalahan membunuh dan persubahatan membunuh dihadapi Abdoul Hakeem seperti yang diputuskan oleh Mahkamah Rayuan, tidak dapat dipertahankan.
Beliau berkata, panel itu selanjutnya berpuas hati bahawa keterangan yang dikemukakan ketika perbicaran adalah mencukupi bagi membuktikan kesalahan di bawah Seksyen 304(a) iaitu menyebabkan kematian Zulfarhan.
Pada 2 November 2021, Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Azman Abdullah (kini Hakim Mahkamah Rayuan), menjatuhkan hukuman penjara 18 tahun terhadap enam penuntut atas tuduhan mencederakan Zulfarhan tanpa niat membunuh.
Dalam pada itu, lima daripada enam tertuduh (kecuali Mohamad Shobirin) dikehendaki menjalani hukuman penjara tiga tahun atas tuduhan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap mangsa.
Bagaimanapun mahkamah memerintahkan hukuman bagi kedua-dua pertuduhan itu berjalan serentak bermula dari tarikh tangkap iaitu 1 Jun 2017.
Lima lelaki itu sebelum ini menghadapi pertuduhan membunuh Zulfarhan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan, sementara Abdoul Hakeem didakwa bersubahat membunuh mengikut Seksyen 109 kanun sama yang membawa hukuman serupa.
Hakim mendapati semua tertuduh itu bersalah atas pertuduhan dengan niat menyebabkan kecederaan kepada Zulfarhan tanpa niat membunuh, mengikut Seksyen 304(a) kanun sama yang membawa hukuman penjara hingga 30 tahun dan dikenakan denda jika perbuatan itu dilakukan dengan niat hendak menyebabkan kematian.
Mereka didapati bersalah atas pertuduhan dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap Zulfarhan untuk mendapatkan pengakuan bahawa dia mencuri komputer riba, mengikut Seksyen 330 kanun sama dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang membawa hukuman maksimum penjara tujuh tahun dan denda.
Zulfarhan meninggal dunia di Hospital Serdang pada 1 Jun 2017.
Pada 23 Julai 2024, Mahkamah Rayuan menjatuhkan hukuman gantung sampai mati terhadap keenam-enamnya kerana membunuh Zulfarhan, selepas membenarkan rayuan silang pendakwaan bagi menghidupkan semula kesalahan bunuh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dihadapi mereka sebelum ini.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

