'Mati biarlah dibalas mati' - Ibu Zulfarhan mohon doa arwah dapat pembelaan sewajarnya

SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Ibu kepada Pegawai Kadet Laut, Allahyarham Zulfarhan Osman Zulkarnain meluahkan mereka sekeluarga telah menderita selama lapan tahun dan perbuatan kejam yang menimpa anak sulungnya akan terus diingat seumur hidup.
Hawa Osman, 62, berkata, dia tidak mampu melupakan apa yang berlaku meskipun dua daripada keluarga pelaku yang disabit salah kerana membunuh Zulfarhan menemuinya datang meminta maaf dan berharap dia tidak menyimpan dendam.
"Saya kata, saya tak berdendam cuma saya terkilan mereka tidak menceritakan perkara yang sebenar apa yang mereka dah buat ke atas Zulfarhan.
"Saya cakap setiap kali lepas solat saya maafkan muslimin dan muslimat termasuk la anak dia. Tapi hati ni akan kenang seumur hidup apa yang mereka dah buat.
"Sehingga kini tertanya-tanya siapa yang buat anak saya jadi macam tu... sehingga kini pun kami masih tak dapat terima apa yang berlaku walaupun lapan tahun dah berlalu," katanya dalam temubual bersama Mingguan Wanita.
Pada 2021, Mahkamah Tinggi memutuskan sebanyak 90 tekapan seterika wap yang dilakukan oleh lima penuntut Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) pada anggota badan Zulfarhan Osman telah menyebabkan kematian mangsa.
Kesan luka lecur itu adalah pada kategori tahap satu, dua dan tiga yang didapati dari pangkal leher sehingga ke kaki mangsa termasuk bahu, lengan, dada, perut, rusuk, belikat, betis, paha dan buku lali.

Hawa menambah, dia tidak pernah putus doa supaya kematian Zulfarhan mendapat pembelaan yang sewajarnya.
"Setiap kali selepas solat (saya berdoa), saya (juga) minta kawan-kawan dan saudara-mara yang buat umrah atau haji mendoakan supaya arwah dapat pembelaan yang sewajarnya.
"Mati (nyawa) biarlah dibalas mati (nyawa)," katanya.
Katanya, perjuangan mereka sekeluarga tak akan pernah terhenti demi mendapatkan keadilan buat arwah Zulfarhan yang dipanggil Along, termasuk akan hadir ke mahkamah setiap kali kes anaknya didengari.
Malah, suaminya juga sanggup tidak melakukan pembedahan saluran jantung tersumbat kerana tidak mahu ketinggalan dan mendengar sendiri apa yang disebutkan di mahkamah.
"Suami sepatutnya perlu dibedah kerana ada saluran ke jantungnya tersumbat. Suami kata, dia tak mahu buat dulu pembedahan kerana takut terlantar berbulan-bulan, tak dapat bangun dan tak dapat mengikuti kes perbicaraan arwah kelak.
"Suami kata, biar selesaikan hal Along dulu. Lepas kesemua tuduhan ke atas enam tertuduh dikekalkan yakni gantung sampai mati, barulah dia mahu fikirkan kesihatannya," katanya.
Mahkamah Persekutuan pada Selasa diberitahu bahawa sabitan serta hukuman mati terhadap enam bekas pelajar UPNM bagi kesalahan membunuh Zulfarhan adalah tidak selamat dan seharusnya diketepikan.
Enam bekas pelajar tersebut ialah Muhammad Akmal Zuhairi Azmal, Muhammad Azamuddin Mad Sofi, Muhammad Najib Mohd Razi, Muhammad Afif Najmudin Azahat, Mohamad Shobirin Sabri dan Abdoul Hakeem Mohd Ali.
Peguam Datuk Hisyam Teh Poh Teik mewakili Muhammad Najib dalam hujahnya berkata, keterangan terhadap perayu ketiga tiada kes prima facie bagi kesalahan di bawah Seksyen 304 (a) Kanun Keseksaan apatah lagi bagi kesalahan membunuh.
Beliau berkata, Mahkamah Tinggi telah terkhilaf dalam bergantung kepada keterangan saksi pendakwaan ke-27 (SP27) iaitu pemilik seterika.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
