Pindaan Akta KWSP 1991 dijangka dibentang di Parlimen

SHAH ALAM - Pindaan kepada Akta Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) 1991 bagi mewajibkan caruman kepada pekerja asing dijangka akan dibentangkan di Dewan Rakyat minggu depan.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif KWSP, Ahmad Zulkarnain Onn, setakat ini caruman bagi pekerja asing dibuat secara pilihan, namun untuk menjadikannya wajib maka pindaan perlu dilakukan.
“Seperti diketahui umum, pada Belanjawan 2025 lalu, kerajaan mencadangkan bahawa pekerja asing harus mencarum dalam KWSP.
“Caruman bertujuan menyamakan syarat atau peraturan buruh antara pekerjaan Malaysia dan pekerja migran serta memastikan semua pekerja mendapat layanan adil. Dari sudut pandang Pertubuhan Buruh Antarabangsa juga turut menggariskan tiada perbezaan antara pekerja warganegara dan pekerja asing,” katanya pada Taklimat Prestasi Kewangan KWSP pada Sabtu.
Dalam taklimat tersebut, KWSP mengumumkan kadar dividen sebanyak 6.30 peratus bagi Simpanan Konvensional, dengan jumlah agihan sebanyak RM63.05 bilion, dan 6.30 peratus bagi Simpanan Shariah dengan jumlah agihan sebanyak RM10.19 bilion.
Ini menjadikan jumlah keseluruhan agihan untuk tahun 2024 sebanyak RM73.24 bilion.
Dalam pada itu, Ahmad Zulqarnain berkata, berdasarkan anggaran awal terdapat kira-kira dua hingga dua juta setengah pekerja asing yang akan masuk ke dalam platform EPF.
“Berita baiknya, berbekal teknologi pada hari ini, sebahagian besar daripadanya boleh diautomasikan dan didigitalkan,” katanya.
Untuk rekod, dicadangkan caruman bermula pada kadar dua peratus untuk pekerja asing dan majikan.
Pada masa sama, beliau turut memaklumkan perincian lanjut berhubung butiran bagaimana skim tersebut akan dilaksanakan akan dikongsikan dalam masa beberapa bulan lagi.
Dalam pada itu, KWSP menjangkakan sejumlah RM5 bilion akan disumbangkan oleh skim caruman pekerja asing pada tahun ini.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

