Balai Cerap KUSZA jadi hab pelancongan astronomi Terengganu

Fadzli (tengah) mendengar penerangan mengenai alatan digunakan di Balai Cerap KUSZA ketika Program Cerapan Hilal Ramadan 1446H di Merang, Setiu.
Fadzli (tengah) mendengar penerangan mengenai alatan digunakan di Balai Cerap KUSZA ketika Program Cerapan Hilal Ramadan 1446H di Merang, Setiu.
A
A
A

SETIU - Balai Cerap KUSZA yang beroperasi di Merang, Terengganu bakal dibangunkan sebagai hab pelancongan astronomi baharu di Terengganu.

Naib Canselor Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Profesor Datuk Dr. Fadzli Adam, berkata, pihaknya sudah mengadakan perbincangan bersama Jabatan Pelancongan Negeri serta agensi berkaitan bagi merealisasikan perancangan tersebut.

Menurutnya, balai cerap yang beroperasi sejak 1992 itu juga dicadangkan untuk dimasukkan dalam takwim Pelancongan Terengganu sebagai lokasi cerapan meteorit, gerhana matahari, dan bulan.

"Sebelum ini, balai cerap ini lebih berfungsi sebagai pusat penyelidikan, sumber pembelajaran dan pengajaran, selain menjadi rujukan bagi pakar falak dan astronomi di Pantai Timur.

"Kami mahu mengangkatnya sebagai tarikan utama di negeri ini, dan pastinya ia mampu memberikan pengalaman unik kepada pelancong yang berminat dalam bidang astronomi," katanya ketika ditemui di Balai Cerap KUSZA, di sini pada Jumaat.

Hadir sama, Pembantu Hal Ehwal Islam Cerapan, Jabatan Mufti Negeri Terengganu, Afiq Ruknuddin Meli, dan Pengarah Institut Penyelidikan Alam Sekitar Pantai Timur (ESERI) UniSZA, Profesor Madya Ts Dr Roslan Umar.

Selain itu, beliau berkata, UniSZA merupakan satu-satunya universiti di negara ini yang memiliki balai cerap, sekali gus memberi kelebihan kepada pelajar, khususnya dalam bidang sains dan teknologi.

"Sebelum ini, kami banyak menerima lawatan dari pihak sekolah yang datang untuk meneroka ilmu astronomi falak.

"Jadi, beberapa fasiliti di peringkat universiti ini perlu dinaiktaraf, dan perkara ini memerlukan dana serta peruntukan yang terus-menerus, sama ada dari pihak universiti atau kementerian.

Artikel Berkaitan:

"Insya-ALLAH, apabila siap kelak, balai cerap ini akan menjadi hab pelancongan astronomi yang menarik, bukan sahaja untuk rakyat tempatan, malah pelancong dari dalam dan luar negara," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!