Subsidi RON95: Guna PADU, PAKW sebagai indikator

Laporan Sinar Harian berhubung pelaksanaan subsidi RON95 bersasar yang dijangka pertengahan tahun ini
pada Jumaat.
Laporan Sinar Harian berhubung pelaksanaan subsidi RON95 bersasar yang dijangka pertengahan tahun ini pada Jumaat.
A
A
A

SHAH ALAM - Kerajaan disaran menggunakan sistem Pangkalan Data Utama (PADU) dan Perbelanjaan Asas Kehidupan Wajar (PAKW) sebagai indikator dalam melaksanakan mekanisme penyasaran subsidi kepada rakyat.

Penganalisis ekonomi daripada Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Profesor Dr Nuradli Ridzwan Shah Mohd Dali berkata, sistem tersebut sesuai digunakan bagi memastikan bantuan subsidi dapat diberikan kepada golongan keperluan utama selaras dengan nilai PAKW.

“Kalau rakyat T20 sekalipun, mereka layak untuk terima subsidi jika mempunyai tanggungan ramai contohnya ada lima atau 10 orang anak.

“Jika anak semua masuk universiti, kita kena beri duit elaun RM500 seorang, 10 orang sudah RM5,000.

“Selain itu, kebanyakan masyarakat M40 dan T20 juga tidak mendapat bantuan daripada kerajaan termasuk biasiswa atau pinjaman,” katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.

Sebelum ini, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) pada Khamis memaklumkan pihaknya masih dalam peringkat menentukan mekanisme terbaik untuk melaksanakan penyasaran RON95.

Menterinya, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, kerajaan mahu memastikan penyasaran itu benar-benar mencapai objektif sebelum dijangka dilaksanakan pertengahan tahun ini.

Mengulas lanjut, Nuradli Ridzwan Shah berkata, kerajaan juga mungkin akan mempertimbangkan alternatif lain seperti pemberian Sumbangan Tunai Rahmah (STR) khusus untuk kegunaan pengangkutan kepada golongan memerlukan.

“Maksudnya dengan langkah tersebut harga minyak di semua stesen adalah sama, kerana penerima bantuan subsidi bersasar akan terima STR.

Artikel Berkaitan:

“Saya fikir langkah pemberian STR ini lebih mudah untuk mengelakkan berlakunya dua sistem harga, iaitu satu untuk penerima subsidi dan bukan penerima di stesen minyak,” ujarnya.

Menurut beliau, pengapungan harga RON95 perlu dilakukan secara berperingkat bagi mengelakkan berlaku peningkatan inflasi secara mendadak.

Katanya, situasi tersebut boleh mendorong kepada kenaikan tinggi indeks harga pengguna secara drastik.

“Lebih baik jika pengapungan harga itu dilakukan secara berperingkat atau berfasa supaya kesan kenaikan itu tidak dirasai.

“Saya yakin KPDN pun sudah ambil kira faktor tersebut,” tambah beliau.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!