Ahli Parlimen disaran perkasa RUU Perkhidmatan Parlimen dengan 11 penambahbaikan

SHAH ALAM - Ahli-ahli Parlimen disaran mengemukakan 11 langkah penambahbaikan penting terhadap Rang Undang-Undang (RUU) Perkhidmatan Parlimen (PSA) bagi memastikan ia mencapai kualiti gred A dalam lima aspek utama.
Lima aspek itu merangkumi kepimpinan, autonomi pentadbiran dan kewangan, perkhidmatan kepada ahli Parlimen serta tanggungjawab kepada rakyat.
Cadangan itu disarankan oleh Rasuah Busters bersama Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih), Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (IDEAS), Projek Kestabilan dan Akauntabiliti untuk Malaysia (Projek SAMA) serta Institut Reformasi Politik dan Demokrasi (Reform) dalam satu kenyataan bersama.
"Aspek ini penting bagi memperkukuh peranan Parlimen sebagai mekanisme semak dan imbang terhadap badan eksekutif serta meningkatkan kualiti penggubalan dasar dan undang-undang.
"Walaupun beberapa perkara boleh dilaksanakan melalui peraturan mesyuarat dewan atau arahan pentadbiran, peruntukan dan jaminan jelas boleh dimasukkan terus dalam RUU PSA 2025 bagi memastikan keberkesanannya," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Selain itu, gabungan itu berpendapat bahawa RUU PSA 2025 perlu merangkumi pelantikan serta jaminan tempoh perkhidmatan bagi setiausaha Dewan Rakyat dan Dewan Negara.
“RUU itu juga perlu memberikan autonomi kewangan kepada Majlis Perkhidmatan Parlimen (MPP) serta menubuhkan Pejabat Bajet Parlimen dan Pejabat Penggubal Undang-undang Parlimen bagi memastikan pentadbiran lebih bebas dan berkesan,” kata mereka.
Gabungan itu berpandangan usaha itu penting bagi memudahkan perbahasan terbuka mengenai matlamat, fungsi dan reka bentuk perkhidmatan Parlimen yang diperlukan Malaysia.
“Langkah itu penting pada saat kerajaan dilihat ingin mengehadkan skop RUU ini kepada parameter PSA 1963 dan mengecualikan sebahagian besar pegawai Parlimen daripada cakupannya.
"Kami tidak dapat memahami mengapa kerajaan mengambil pendekatan terbatas, sedangkan negara-negara Komanwel seperti New Zealand, Australia, United Kingdom dan Kanada telah melaksanakan reformasi berani bagi mewujudkan perkhidmatan Parlimen yang berdaya maju,” ujar mereka.
Di sebalik kekhuatiran disuarakan gabungan berkenaan, mereka memuji keazaman politik Kerajaan Madani dalam melaksanakan reformasi ini, terutamanya apabila 70 peratus penjawat awam parlimen menyatakan bantahan terhadapnya dalam satu tinjauan sebelum ini.
Menurut mereka, seperti diakui Ketua Pembangkang Parlimen, Datuk Seri Hamzah Zainuddin pada Khamis, bantahan itu berkemungkinan berpunca daripada taklimat dan maklumat tidak mencukupi mengenai butiran serta alternatif bagi Akta Perkhidmatan Parlimen.
Tambah gabungan itu, penolakan terhadap PSA yang baharu turut didorong oleh perebutan kuasa dan isu laluan kerjaya.
“Kebimbangan sebahagian penjawat awam bagaimanapun tidak pernah dinyatakan secara terbuka, sekali gus menyukarkan perbincangan awam bagi mencari penyelesaian yang terbaik.
“Situasi ini menjadi bukti kepentingan proses penggubalan RUU yang lebih telus dengan rundingan menyeluruh bersama semua pihak berkepentingan bagi mengakui kebimbangan mereka dan mendapatkan sokongan sejak peringkat awal,” jelas mereka.
Justeru, mereka berharap semua Ahli Parlimen dapat memastikan PSA kukuh dengan kualiti 5A, selaras dengan semangat reformasi yang dihasratkan.
"Pembentangan RUU PSA 2025 untuk bacaan kedua pada 4 Mac adalah peluang penting dalam memperkukuhkan salah satu institusi demokrasi utama di negara ini," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
