Israel sekat al-Aqsa lagi ketika Ramadan

TEL AVIV - Israel pada Khamis mengumumkan langkah kontroversi tentang pelaksanaan 'sekatan keselamatan' di pekarangan Masjid al-Aqsa (Haram al-Sharif) sepanjang Ramadan yang bermula pada akhir minggu ini.
Rejim Tel Aviv cuba mengambil kesempatan dengan mengenakan tindakan provokasi sedemikian di Baitulmaqdis di tengah-tengah pelaksanaan gencatan senjata yang rapuh di Genting Gaza.
"Ia adalah sekatan biasa yang dilaksanakan ke atas penduduk Palestin pada setiap tahun," kata jurucakap kerajaan, David Mencer.
Menurutnya, hanya lelaki berusia 55 tahun ke atas dan wanita berumur 50 tahun ke atas dibenarkan memasuki Haram al-Sharif.
"Ribuan anggota keselamatan Israel juga akan ditempatkan di seluruh Kota Lama Baitulmaqdis," katanya.
Pada tahun lalu, rejim Tel Aviv mengenakan peraturan serupa terhadap kumpulan jemaah yang dibenarkan memasuki untuk beribadat di al-Aqsa ketika perang genosid terus diperhebatkan ke atas Gaza.
Sebelum ini, pertempuran ganas sering tercetus akibat tindakan provokasi melampau Zionis terutamanya ketika Ramadan. - AFP
Info:
>Pada Mei 2021, lebih 170 penduduk Palestin cedera selepas polis Israel bertindak biadab menceroboh al-Aqsa dan cuba mengusir jemaah yang beribadat pada minggu terakhir Ramadan.
>Tindakan provokasi sama dilakukan pada Ramadan 2023, pertempuran tercetus selepas polis Israel cuba mengusir jemaah keluar dari al-Aqsa.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

