URA: Kamu hanya dengki dan hasad, kata Anwar

Anwar. Foto Bernama
Anwar. Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengingatkan mana-mana pihak agar tidak menggunakan kebebasan bersuara untuk menipu dan menabur fitnah berhubung cadangan pelaksanaan Rang Undang-Undang (RUU) Pembangunan Semula Bandar (URA).

Ujar Anwar, cadangan RUU URA itu bertujuan untuk pembangunan dan memulihkan bandar yang majoritinya didiami oleh penduduk Melayu miskin.

"Jangan guna kebebasan ini untuk menipu dan memfitnah apatah lagi atas nama Islam dan Melayu.

"Kamu hanya dengki dan hasad. Sebenarnya penyakit mereka ini tidak boleh tengok orang senang dan tidak boleh tengok projek-projek baik," katanya ketika ditemui pemberita selepas majlis peluncuran Program Singgah Madani di sini pada Jumaat.

Anwar berkata, pembangunan semula kawasan bandar perlu dilakukan kerana kerajaan prihatin terhadap rakyat yang tinggal di flat daif.

"Jadi kawasan itu kita mahu bangunkan semula. Dia nak bantah sebab apa? Oh ini hak Melayu dan sejak bila kamu perjuangkan? Semasa perintah dahulu pun tiada usaha untuk membangunkan kawasan," katanya.

Rabu lalu, Timbalan Ketua Pemuda Pas, Mohd Hafez Sabri dalam satu kenyataan memaklumkan pihaknya merancang mengadakan himpunan besar-besaran bagi membantah cadangan kerajaan memperkenalkan RUU Pembaharuan Semula Bandar yang didakwa boleh mengancam hak pemilik hartanah terutamanya penduduk bandar yang kurang berkemampuan.

Menurutnya, Pemuda Pas akan terus berjuang bersama badan bukan kerajaan (NGO) dan pihak berkepentingan lain bagi memastikan suara rakyat didengar dan dipertahankan.

Sebanyak 31 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Melayu-Islam menyuarakan bantahan menerusi memorandum yang dihantar kepada Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainuddin.

Artikel Berkaitan:

Ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN) dalam sidang media di Dewan Rakyat turut menyifatkan penggubalan RUU itu dibuat secara tergesa-gesa.

Sementara itu, Anwar menegaskan kerajaan tidak sesekali menyisihkan orang miskin dalam membangunkan negara.

"Kedudukan orang miskin tanggungjawab kita. (Kerajaan) gunakan undang-undang ini untuk membangunkan semula kawasan tersebut," katanya.

Kerajaan dilapor akan memperkenalkan URA bagi membolehkan pembangunan semula kawasan perumahan lama dan usang di kawasan bandar.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!