Kisah tiga beranak tinggal di rumah daif dapat perhatian

REMBAU - Kisah tiga beranak yang terpaksa tinggal di rumah serba daif di Kampung Ulu Chembong, di sini telah mendapat perhatian Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS).
MAINS di laman Facebook rasminya pada Jumaat memaklumkan, pihaknya telah turun padang bersama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chembong, Datuk Zaifulbahri Idris bagi melihat permasalahan dihadapi keluarga terbabit.
"Bagi pihak MAINS daerah Rembau, keluarga ini akan dibantu untuk proses bantuan kewangan secara bulanan memandangkan ketua keluarga mengalami masalah kesihatan agak serius yang menyebabkan dia tidak dapat keluar bekerja," katanya.
Hadir sama dalam lawatan berkenaan, Pegawai MAINS daerah Rembau, Zaharudin Mat Derus bersama wakil Pejabat Daerah dan Tanah Rembau, Pejabat Pembangunan Negeri, Jabatan Kemajuan Orang Asli, Ketua Kampung dan Tok Batin.
Sebelum ini Sinar Harian melaporkan kesusahan hidup memaksa tiga beranak tinggal di rumah yang serba daif sejak tiga tahun lalu.
Keadaan rumah yang menjadi tempat berteduh buat Norshima Sekil Abdullah, 36, dan Anis Elam, 35, serta seorang anak mereka bukan sahaja sudah reput dimakan anai-anai dan bocor pada kebanyakan bumbung, malah tidak mempunyai kemudahan tandas.
Sejak berpindah di situ, sungai dan tandas stesen minyak menjadi tempat mereka 'melepaskan hajat' selain ada ketikanya terpaksa menumpang tandas rumah jiran.
Menurut Norshima, dengan hanya bekerja sebagai tukang cuci dan suaminya yang merupakan orang kurang upaya pula menoreh getah, mana mungkin mereka mampu membaik pulih rumah pusaka berkenaan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

