Madrasah Ramadan didik diri suburkan takwa
Ibarat merentas jalan penuh duri, sifat itu memandu umat Islam agar sentiasa berhati-hati dalam kehidupan

SETIAP tahun, bulan Ramadan hadir sebagai tetamu istimewa yang membawa bersamanya peluang untuk menyucikan jiwa dan memperkukuh ketakwaan seorang hamba kepada Sang Pencipta.
Namun begitu, adakah kita benar-benar memahami tujuan sebenar ibadah puasa? Cukupkah hanya menahan lapar dan dahaga semata-mata?
Ketahuilah bahawa puasa Ramadan yang kita laksanakan saban tahun itu matlamatnya adalah untuk menyemai takwa dalam diri umat Islam.
Menerusi teks khutbah Jumaat minggu lalu, Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) menegaskan, takwa menjadi modal yang tinggi harganya dalam kehidupan kita.
“Masakan tidak, ia menolong kita untuk sentiasa berada dalam lingkungan yang dicintai ALLAH SWT, membantu kita berada di tempat dibenarkan, di samping menjauhkan diri daripada amalan yang dilarang-NYA.

“Bahkan, takwalah yang menjadi punca kepada segala kebaikan dalam masyarakat, selain merupakan alat pencegahan kerosakan, kejahatan dan perbuatan dosa,” katanya sebagaimana dipetik menerusi khutbah bertajuk ‘Ramadan bulan menyuburkan takwa’.
Meskipun kalimah takwa sering kali diingatkan dan diungkapkan hampir setiap hari, tetapi usah sesekali memandang remeh tentangnya.
ALLAH SWT berfirman: “Sesiapa yang bertakwa kepada ALLAH, nescaya dia akan mengadakan baginya jalan keluar dan memberinya rezeki dari arah yang tidak disangka-sangka.” (Surah at-Talaq: 3)
Berdasarkan ayat itu, jelas khatib, ahli tafsir menyatakan bahawa ALLAH SWT akan menolong orang yang bertakwa mendapat hidayah, membezakan perkara yang benar dan batil serta memberi jalan keluar, di samping menghapuskan dosa.
“Bahkan, janji ALLAH lagi, rezeki akan datang mencari orang yang bertakwa,” katanya.
Iringi keburukan dengan amalan kebaikan
Betapa pentingnya sifat itu apabila Rasulullah SAW sering mengingatkan para sahabat supaya bertakwa di mana sahaja keberadaan mereka.

Malah MAIK menjelaskan, Baginda SAW juga akan menasihatkan sahabatnya supaya memperbaiki takwa andai ada kelemahan.
Perkara itu dapat dilihat ketika Nabi Muhammad SAW menasihatkan Abu Zar Al-Ghifari dan Muaz bin Jabal RA yang mana Baginda bersabda:
“Bertakwalah kepada ALLAH di mana pun kamu berada. Iringilah keburukan dengan amalan kebaikan, nescaya kebaikan tersebut akan menghapuskan (keburukan) dan bergaullah dengan manusia dengan akhlak yang mulia.” (Hadis Riwayat At-Tirmizi)
Bukan itu sahaja, MAIK menambah, Rasulullah SAW juga begitu berhati-hati dalam setiap perbuatannya bagi menjauhkan dirinya daripada perbuatan dosa.
Umar Al-Khattab pernah bertanyakan kepada sahabatnya, Ubay bin Ka’ab: “Wahai Ka’ab, apa makna takwa?” Ubay bertanya semula: “Wahai Umar, pernahkah kamu berjalan melalui jalan yang di atasnya penuh duri?” Umar menjawab: “Sudah tentu pernah”.
Lalu Ubay bertanyakan lagi: “Apa yang kamu lakukan saat itu, wahai Umar?” Umar menjawab: “Tentu sahaja saya akan berjalan hati-hati.” Kemudian Ubay berkata: “Itulah hakikat takwa.”
Disebabkan itu, MAIK menyeru kepada umat agar sentiasa menempatkan diri dalam lingkungan kehidupan yang dicintai oleh ALLAH SWT.
Caranya adalah dengan sentiasa melakukan muhasabah diri supaya perbuatan itu melorongkan kita ke arah ketakwaan sebagaimana dilakukan oleh orang soleh.
“Golongan soleh begitu menjaga mata, telinga, lidah, tangan, kaki dan hati supaya gerak-geri masing-masing sentiasa tidak terjerumus dalam perbuatan berdosa.
“Ingatlah, pada hari kiamat nanti, mulut kita akan dikunci dan tidak boleh bercakap memberi keterangan di padang mahsyar, tetapi tangan dan kaki akan menjadi saksi yang menilai tahap ketakwaan seseorang,” kata ktatib.
Seksaan menakutkan

Andai kita terus membiarkan diri jauh daripada takwa, MAIK menjelaskan, hati akan menjadi lemah dan mudah menyerah kepada lingkungan yang melupai ALLAH SWT.
Lebih parah lagi apabila hati tidak lagi bergantung kepada-NYA, menyebabkan DIA akan membiarkan kita terus hanyut dengan kejahatan.
“Kelompok itu akan terjerumus menjadi seburuk-buruk manusia, jadi seperti haiwan yang hidup merayap-rayap di atas muka bumi,” katanya.
Bayangkan jika perkara itu terjadi, sia-sialah usaha pihak kerajaan menguatkuasakan pelbagai akta dan undang-undang bagi mencegah perbuatan buruk seperti memakan rasuah, menyalahgunakan kuasa, mencuri, minum arak, berzina dan seumpamanya.
Masakan tidak, jika sifat takwa yang tidak dipasak dalam diri masing-masing, ia akan menjadikan kita manusia yang tidak takut dengan semua peraturan tersebut.
“Malah semakin bernafsu besar lagi melakukan kejahatan. Jalan keluarnya adalah mencari penyelesaian mencegah kejahatan yang semakin sukar.
“Sedarlah, orang yang tidak mahu bertakwa kepada ALLAH SWT akan menerima seksaan yang menakutkan. Bayangkan lapisan api neraka atas dan bawah badan akan menyeksa mereka,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
