Trump 'promosi' Gaza-Lago cetus kontroversi

Klip berdurasi 33 saat itu dijana oleh AI.
Klip berdurasi 33 saat itu dijana oleh AI.
A
A
A

WASHINGTON - Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump sekali lagi mencetuskan kontroversi apabila beliau berkongsi video dihasilkan teknologi kecerdasan buatan (AI) memaparkan Genting Gaza dibangunkan semula sebagai pusat peranginan tepi laut berserta patung emas gergasi menyerupai dirinya.

Klip berdurasi 33 saat tersebut yang meraih lebih 15 juta tontonan di Instagram dan telah dikongsi secara meluas di rangkaian Truth Social miliknya hingga mengundang pelbagai reaksi warganet yang menyifatkan ia sebagai 'perang psikologi' dilancarkan Trump demi untuk merealisasikan rancangan gila tersebut.

AFP bagaimanapun tidak menemui sebarang bukti menunjukkan montaj diberi julukan 'Gaza-Lago' merujuk kepada Mar-a-Lago yang merupakan kediaman peribadi mewah miliknya di Florida terdapat unsur penggodaman.

Beberapa menara pencakar langit yang kononnya akan dibangunkan di tepi pantai Gaza menghadap Laut Mediterranean.
Beberapa menara pencakar langit yang kononnya akan dibangunkan di tepi pantai Gaza menghadap Laut Mediterranean.

Ia kekal berada pada akaun Trump tanpa kenyataan penafian atau penarikan semula selepas dimuat naik pada malam Selasa.

Video berjudul 'Gaza 2025 What's Next?' itu menunjukkan keadaan berbeza 360 darjah di Gaza kononnya selepas ia diambil alih bilionair hartanah tersebut.

Ia disertakan runut bunyi dengan lirik provokasi 'menyanjung' Presiden ke-47 AS itu, 'Donald's coming to set you free, bringing the light for all to see, feast and dance, the deal is done, Trump Gaza number one' (Donald datang untuk membebaskanmu, membawa cahaya untuk semua, pesta dan menari, perjanjian telah dicapai, Trump Gaza nombor satu).

Gelagat Trump bersama Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu yang dijana AI turut memaparkan kedua-duanya seronok menikmati minuman koktel di tepi kolam renang.

Bilionair, Elon Musk yang menjadi penasihat khas Rumah Putih juga sakan menari sambil dihujani wang tunai bersama penduduk tempatan di tepi pantai.

Artikel Berkaitan:

Sebelum ini, Trump mengumumkan pelan mengarut untuk mengambil alih Gaza dan memindahkan penduduk Palestin hingga mencetuskan bantahan banyak pihak terutamanya negara Arab.

Susulan kecaman yang diterimanya, beliau secara tiba-tiba menukar kenyataan dan memberi alasan ia hanyalah saranan idea malah pemimpin itu mengakui penolakan dibuat Jordan dan Mesir yang menentang sekeras-kerasnya rancangan pemindahan secara paksa penduduk dari Gaza.

Gaza bukan 'taman permainan'

Keadaan enklaf itu yang binasa teruk akibat perang genosid selama 15 bulan.
Keadaan enklaf itu yang binasa teruk akibat perang genosid selama 15 bulan.

Penduduk Palestin yang melihat klip itu juga terkejut dengan provokasi sedemikian.

“Mesej yang cuba disampaikan video Trump itu penuh kekeliruan dan tidak menunjukkan budaya sebenar di sini. Gaza tidak akan menjadi lokasi pelancongan seperti Itali atau Sepanyol,” tegas Nasser Abu Hadaid, 60, di Khan Yunis.

Peguam di Bandar Gaza, Manal Abu Seif, 23, juga berpendapat Trump seorang yang pelik dan akan melakukan setiap apa yang dikatakannya.

“Beliau amat mementingkan wang dan pelaburan tanpa memikirkan kemanusiaan. Gaza perlukan kebebasan, tiada sekatan di lintasan sempadan, peluang pekerjaan untuk golongan muda.

“Ia bukannya 'taman permainan' untuk pelancongan dan pelaburan,” katanya.

Kawasan Bandar Gaza pernah menjadi tumpuan pelancong tempatan sebelum peperangan itu meletus.
Kawasan Bandar Gaza pernah menjadi tumpuan pelancong tempatan sebelum peperangan itu meletus.

Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menganggarkan kos pembangunan semula wilayah tersebut berjumlah lebih AS$53 bilion (RM234.2 bilion).

Perjanjian gencatan senjata rapuh berkuat kuasa pada 19 Januari lalu akhirnya membenarkan akses bantuan kemanusiaan ke Gaza yang berdepan 'malapetaka' akibat perang genosid selama kira-kira 15 bulan.

Tetapi, Hamas mendakwa Israel berulang kali melanggar kandungan perjanjian damai itu apabila ia cuba menyekat penghantaran bekalan penting. - Agensi

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!