Trump nafi dakwaan media Perancis akan bertemu Putin

WASHINGTON – Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, menafikan laporan media Perancis yang mendakwa beliau akan ke Moscow pada 9 Mei dan bertemu Presiden Rusia, Vladimir Putin.
Bagaimanapun, ketika ditanya di Rumah Putih mengenai perkara itu, Trump menafikan dakwaan tersebut.
"Tidak, tidak, saya tidak akan pergi," katanya pada Sabtu.
Majalah berita mingguan Perancis, Le Point, pada Jumaat melaporkan bahawa Trump dijangka menghadiri perarakan di ibu negara Rusia sempena ulang tahun ke-80 Kemenangan dalam Perang Patriotik Besar, istilah yang digunakan Rusia bagi merujuk kepada pertempuran di Front Timur semasa Perang Dunia Kedua.
Trump turut ditanya mengenai perjanjian mineral yang dicadangkan antara Washington dan Kyiv, yang dibentangkan kepada Presiden Ukraine, Volodymyr Zelenskyy, oleh Setiausaha Perbendaharaan AS, Scott Bessent, awal Februari lalu.
Perjanjian itu menyatakan AS akan menerima 50 peratus daripada hasil yang diperoleh Ukraine melalui sumber mineral nadir bumi dan hasil semula jadi negara itu sebagai bayaran untuk bantuan ketenteraan sebelum ini.
"Saya rasa kita semakin hampir (memeterai perjanjian). Mereka mahukannya, mereka rasa selesa dengannya. Ia perjanjian yang besar, tetapi mereka mahukannya dan ini mengekalkan kehadiran kita di sana," kata Trump.
Bagaimanapun, kenyataan Trump bercanggah dengan pendirian Zelenskyy sebelum ini yang menolak perjanjian tersebut.
Zelenskyy pada rabu lalu menegaskan bahawa AS tidak menawarkan jaminan keselamatan yang mencukupi serta tidak pernah menyalurkan bantuan ketenteraan atau kewangan sebanyak AS$500 bilion (RM2.28 trilion) seperti yang dituntut Washington.
Sejak 2022, AS hanya membekalkan Ukraine dengan senjata bernilai kira-kira AS$67 bilion (RM305 bilion).
"Tapi kita mahu pulangkan wang kita. Sepatutnya perjanjian ini dimeterai lebih awal sebelum kita masuk campur. Biden patut selesaikannya, tapi dia tak tahu apa yang dia lakukan," kata Trump.
Eropah kini semakin bimbang dengan perubahan pendirian Trump terhadap Rusia serta kemungkinan rundingan damai diadakan tanpa penyertaan Ukraine.
Pada Isnin lalu, pemimpin-pemimpin Eropah mengadakan sidang tergempar di Paris yang dipengerusikan
Presiden Perancis, Emmanuel Macron, menjelang pertemuan pegawai AS dan diplomat Rusia di Arab Saudi pada Selasa.
Bagaimanapun, Ukraine serta wakil negara Eropah tidak dijemput menghadiri rundingan tersebut, mencetuskan pertikaman lidah antara Trump dan Zelenskyy.
Pada Rabu, Trump mencetuskan kontroversi apabila mendakwa Ukraine yang memulakan perang, menyebabkan Zelenskyy menuduh Trump terperangkap dalam propaganda Rusia.
Keesokan harinya, Trump membalas dengan menggelar Zelenskyy sebagai ‘diktator’ kerana tidak mengadakan pilihan raya baharu selepas mandatnya tamat pada Mei tahun lalu.
Bagaimanapun, menurut Perlembagaan Ukraine, pilihan raya tidak boleh diadakan ketika negara berada di bawah undang-undang tentera akibat pencerobohan Rusia.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
