Suasana pilu iringi pengebumian Hud Aryan

TANAH MERAH - Suasana pilu menyelubungi Tanah Perkuburan Islam Kampung Aira Kuala Tiga, di sini ketika ahli keluarga dan penduduk kampung mengiringi pengebumian Hud Aryan Mohd Nor Hafifi, kanak-kanak lelaki berusia 19 bulan yang hilang Isnin lalu.
Jenazah Hud Aryan diiringi ahli keluarga dan penduduk kampung disolatkan di Masjid Mukim Kuala Tiga pada jam 1 pagi sebelum selamat dikebumikan kira-kira jam 2 pagi.
Bapa Allahyarham Hud Aryan, Mohd Nor Hafifi Saidee reda dengan pemergian anaknya itu.

Mohd Nor Hafifi turut menyampaikan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat dalam operasi mencari dan menyelamat anaknya selama tiga hari.
"Terima kasih kepada pasukan keselamatan termasuk polis, bomba, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia dan penduduk kampung yang bertungkus-lumus membantu misi mencari anak saya.
"Saya dan isteri, Azean Nur Atikah Ramley reda dengan pemergian arwah, terima kasih semua," katanya.
Mohd Nor Hafifi juga mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang mendoakan kesejahteraan arwah anaknya.
Media sebelum ini melaporkan seorang kanak-kanak lelaki berusia 19 bulan dilaporkan hilang di Kampung Aira Kuala Tiga.
Pasukan keselamatan menggerakkan operasi mencari dan menyelamat dibantu Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA), Unit K9 serta penduduk kampung.
Operasi berakhir petang Rabu selepas mayatnya ditemukan tersangkut pada pokok berdekatan Ladang Kerila kira-kira tiga kilometer dari kediaman neneknya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
