'Saya bingung kehilangan Hud Aryan seolah-olah misteri' - Ibu

TANAH MERAH - Ibu kanak-kanak berusia 19 bulan yang hilang pada Isnin, Azean Nur Atikah Ramley, 34, masih bingung dengan kehilangan anaknya kerana berlaku dalam sekelip mata.
Bagaimanapun, Azean Nur Atikah yakin anak tunggalnya, Hud Aryan Mohd Nor Hafifi berada dalam keadaan selamat.
Katanya, kehilangan Hud Aryan seolah-olah misteri kerana hanya beberapa minit kelibatnya tidak dapat dikesan di dalam atau luar rumah.
"Kami terus mencari Hud Aryan di kawasan rumah tetapi tidak ditemui kerana hujan," katanya ketika ditemui di kediaman ibunya di Kampung Aira Kuala Tiga pada Rabu.
Sebelum ini media melaporkan pengamal perubatan tradisional memaklumkan Hud Aryan 'ada' di kawasan sekitar kediaman neneknya itu.
Ibu saudara Hud Aryan, Azean Irdawaty Ramley, 44, sebelum ini berkongsi kejadian yang menimpa anak saudaranya itu.
Katanya, sebelum kehilangan Hud Aryan, kanak-kanak itu disuap makan oleh ibunya sebelum wanita terbabit masuk ke dapur.
Selepas itu katanya, seorang saudara terdekat mereka datang ke rumah dan ketika berbual, dia bertanyakan Hud Aryan dan kehilangan kanak-kanak itu disedari ahli keluarga lain.
Hud Aryan yang baru sahaja boleh berjalan agak aktif dan suka bermain.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
