'Terpaksa cari alternatif lain'

SHAH ALAM - Pendedahan Persatuan Hospital-Hospital Swasta Malaysia (APHM) beberapa hospital swasta mungkin dikeluarkan daripada senarai panel insurans akibat kegagalan memenuhi permintaan diskaun tinggi terhadap caj pesakit pada Selasa merunsingkan pemegang polisinya.
Seorang pemegang insurans yang mahu dikenali Nana berkata, mereka mengambil perlindungan tersebut sebagai tujuan sokongan kewangan bagi mendapatkan rawatan terbaik.
Menurutnya yang juga pesakit tetap di sebuah hospital swasta di utara, perubahan ini boleh memberi kesan besar kepada pesakit yang bergantung kepada insurans untuk mendapatkan rawatan tanpa tunai.
“Saya percaya ramai pemegang polisi insurans seperti saya akan berdepan kesulitan sekiranya perkara ini benar-benar berlaku. Kami sudah biasa mendapatkan rawatan di hospital tertentu dengan doktor yang memahami rekod kesihatan kami.
“Jika hospital ini dikeluarkan daripada senarai panel, saya mungkin terpaksa mencari alternatif lain atau membayar dahulu sebelum membuat tuntutan insurans,” katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.
Jelas Nana lagi, dia yang telah mengambil insurans sejak 2018 mengakui ia banyak membantu dirinya mendapatkan rawatan berkala di hospital swasta tersebut.
Menurutnya, bukan semua orang mampu mendahulukan bayaran rawatan yang boleh mencecah ribuan ringgit, terutama dalam situasi kecemasan atau penyakit kronik yang memerlukan rawatan berkala.
“Kami ambil insurans kerana mahu kemudahan rawatan yang lebih cepat dan selesa. Jika hospital swasta yang biasa saya pergi tidak lagi dalam panel, saya mungkin terpaksa menukar hospital, yang akan mengambil masa lebih lama untuk mendapatkan rawatan kerana perlu melalui proses semula seperti pendaftaran, pemeriksaan awal, dan penyesuaian dengan doktor baru,” ujarnya.
Seorang lagi pemegang polisi insurans, Norjuliana Yaacob, 35, melihat isu tersebut bakal dirasai oleh penduduk di kawasan yang mempunyai pilihan hospital swasta yang terhad.

Menurutnya, terdapat negeri yang mempunyai hanya satu hospital swasta utama berbanding negeri-negeri lain dan hal ini yang bakal memberikan kesan kepada pemegang polisi insurans tersebut.
“Pemegang insurans selepas ini perlu terus mendapatkan maklumat terkini berkaitan hospital dan rawatan yang dilindungi daripada ejen insurans mereka.
“Mereka boleh membantu untuk mencadangkan hospital terbaik dan memastikan semua prosedur dipatuhi supaya tuntutan insurans berjalan lancar dan saya pun akan rujuk mereka untuk mendapatkan maklumat terbaru,” ujarnya.
Seorang lagi pemegang polisi yang mahu dikenali Vicky pula berkata, dia akan merujuk kepada ejen insurans untuk sebarang perkembangan perubahan senarai panel insurans yang bakal dikeluarkan oleh APHM.
Tambahnya, persatuan tersebut perlu mempertimbangkan banyak perkara sebelum membuat keputusan tersebut demi keselesaan pesakit bagi mendapatkan rawatan yang terbaik.
“Kami sudah selesa mendapatkan rawatan di hospital panel insurans kami namun jika terdapat perubahan besar mungkin akan ada yang ambil keputusan beralih mendapatkan rawatan di hospital kerajaan pula,” ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

