Kenaikan premium insurans perubatan bawa kesan negatif

KUALA LUMPUR - Kenaikan premium insurans perubatan telah membawa kesan negatif kepada sistem kesihatan awam dan kerajaan harus segera melaksanakan pelan tindakan.
Menurut Presiden Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan), Datuk Dr Dominic Lau Hoe Chai, pelan tindakan itu bagi menangani masalah pesakit terpaksa menunggu sehingga 15 jam untuk menerima rawatan akibat kekurangan peralatan dan tenaga kerja.
Beliau telah berulang kali mengingatkan kerajaan sejak tahun lalu, termasuk mencadangkan agar kerajaan bersiap sedia bagi mengelakkan kenaikan premium insurans daripada memberi tekanan kepada sistem kesihatan awam.
"Namun, amat mendukacitakan apabila kerajaan seolah-olah tidak berdaya dalam menangani situasi ini.
"Walaupun terdapat banyak hospital swasta namun rakyat masih memilih untuk mendapatkan rawatan di hospital kerajaan disebabkan isu kos rawatan,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Beliau menambah, peningkatan jumlah pesakit turut menyebabkan hospital kerajaan semakin sesak manakala jumlah doktor dan jururawat semakin berkurang.
Selain itu, ujarnya, jumlah katil kebanyakan hospital kerajaan didakwa tidak bertambah, menyebabkan hospital sering penuh dan pesakit baharu sukar untuk dimasukkan bagi menerima rawatan.
Beliau sehubungan itu berkata, sudah tiba masanya kerajaan menjalankan kajian menyeluruh terhadap sistem kesihatan awam.
"Singapura berjaya membangunkan sistem penjagaan kesihatan yang baik dan menyeluruh, termasuk penjagaan kesihatan asas, rawatan hospital, penjagaan jangka panjang serta penjagaan integrasi lain," ujarnya lagi.
Dalam kenyataan sama, Dominic Lau turut menegaskan, negara kini bukan sahaja berdepan dengan kekurangan katil hospital, tetapi juga kekurangan tenaga kerja perubatan dan peralatan.
Menurutnya, selagi jumlah pesakit yang dimasukkan ke hospital melebihi jumlah pesakit yang keluar, masalah kekurangan katil akan terus berulang.
"Tekanan ini bukan sahaja dirasai oleh petugas kesihatan, tetapi juga pekerja kebersihan hospital, yang perlu membersihkan katil hospital dalam tempoh yang lebih singkat.
“Setakat yang saya faham, bayaran hospital kerajaan murah, ada pesakit yang hanya mengalami demam ringan tetap mendapatkan rawatan di bahagian kecemasan hospital kerajaan, menyebabkan kesesakan," tegasnya.
Ujarnya, masalah tersebut membelenggu sistem kesihatan awam selama bertahun-tahun, tetapi masih tiada langkah berkesan yang diambil pihak Kementerian Kesihatan untuk menanganinya.
"Kerajaan perlu mengambil serius perkara ini dan merangka satu mekanisme yang dapat menangani isu ini dengan baik," tambahnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

