KLCC gempar 'diserang' peserta himpunan

KUALA LUMPUR - Suasana di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) bertukar 'kecoh' dengan kehadiran sekumpulan individu dalam himpunan di sini, pada Rabu.
Bagaimanapun keadaan itu dapat dikawal dan dileraikan oleh Pasukan Unit Tempur Ringan (LSF) Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU).
Suasana itu sebenarnya hanya latihan Ex-Rimau dalam kesiapsiagaan persidangan Kepengerusian ASEAN 2025.
Timbalan Pengarah Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (Gerakan) Jabatan KDNKA Bukit Aman, Deputi Komisioner M V Srikumar berkata, seramai 150, anggota polis pelbagai jabatan dan unit terlibat dalam latihan yang dilaksanakan itu.
"Ia adalah langkah menangani risiko, selain menunjukkan kesiapsiagaan serta kemahiran Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam latihan ini.
“Jadi bila kita berdepan dengan apa-apa persidangan, negara kita berada dalam keadaan selamat,” katanya dalam sidang akhbar di KLCC, di sini, pada Rabu.

Srikumar berkata, latihan itu berlangsung kira-kira tiga jam mengikut jangkaan masa kejadian sebenar.
"Antara senario latihan atau demonstrasi yang dilakukan adalah langkah-langkah meleraikan protes dan risiko sekiranya berlaku kekerasan dalam kalangan peserta termasuklah cara menangani penemuan barang mencurigakan dan membahayakan.
"Latihan seterusnya adalah bagaimana tertib (langkah) jika barang mencurigakan dijumpai sehingga memaksa kita mengeluarkan orang dari bangunan atau keluarkan VIP (orang kenamaan).
Srikumar berkata, latihan tersebut akan ditambah baik dari semasa ke semasa.
"Latihan ini melibatkan anggota polis dari Ibu Pejabat Daerah (IPD) Dang Wangi, Pasukan Gerakan Am, FRU, Unit Pemusnah Bom, Unit Tindakan Khas (UTK), K9, jururunding PDRM.
"Latihan akan datang mungkin kita akan cantum (gabung) dengan agensi-agensi lain yang terlibat dalam keselamatan dan kelangsungan persidangan (Kepengerusian) Asean,” ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
