Pasangan Malaysia rela rugi ribuan ringgit asalkan dapat bernikah

Terdapat sekitar dua pasangan sehari dan hampir 100 pasangan sebulan yang berkahwin di Majlis Agama Islam Wilayah Narathiwat. Gambar kecil: Shafie FOTO: SINAR HARIAN
Terdapat sekitar dua pasangan sehari dan hampir 100 pasangan sebulan yang berkahwin di Majlis Agama Islam Wilayah Narathiwat. Gambar kecil: Shafie FOTO: SINAR HARIAN
A
A
A

NARATHIWAT, THAILAND - Pasangan dari Malaysia sanggup mengalami kerugian ribuan ringgit dan menjadi mangsa ejen nikah di Thailand semata-mata untuk berkahwin dengan lelaki atau wanita idaman mereka.

Namun, keseronokan itu hanya bersifat sementara kerana mereka kemudian akan berdepan pelbagai masalah, termasuk kesukaran mendaftar perkahwinan serta isu melibatkan anak-anak.

Yang Dipertua Majlis Agama Islam Wilayah Narathiwat, Shafie Ibrahim atau lebih dikenali sebagai Babo Ing berkata, sepanjang 30 tahun berkhidmat, beliau sering menerima luahan daripada pasangan Malaysia yang mendakwa menjadi mangsa penipuan sindiket ejen kahwin di sini.

"Bila sudah tersepit, barulah mereka teringat untuk merujuk kami (Majlis Agama Islam). Sedangkan semasa hendak bernikah, mereka sanggup memilih jalan mudah dan mengeluarkan ribuan ringgit.

"Kahwin di sini hanya memerlukan bayaran sekitar RM600. Tetapi pasangan dari Malaysia sanggup membayar sehingga RM3,000 semata-mata untuk mempermudahkan urusan perkahwinan, sekali gus menjadi mangsa penipuan ejen," katanya kepada pemberita ketika ditemui di pejabatnya di sini pada Rabu.

Tambah beliau, bagi urusan perkahwinan, Majlis Agama Islam Wilayah Narathiwat telah menyediakan 30 jurunikah yang diiktiraf.

Selain itu, pasangan dari Malaysia boleh memilih untuk bernikah di tiga lokasi yang ditetapkan iaitu Masjid Kedai Baru di Golok, Masjid Jabat dan pejabat Majlis Agama Islam Wilayah Narathiwat.

Babo Ing berkata, walaupun perjalanan mengambil masa satu jam, masih ada pasangan dari Malaysia yang sanggup memilih untuk bernikah di atas perahu, di bawah pokok, dan sebagainya.

"Perkara yang mudah mengapa perlu disusahkan? Bagaimanapun, kami tidak menolak kemungkinan mereka berbuat demikian kerana ingin mengelak daripada bersikap jujur.

Artikel Berkaitan:

"Ini kerana jika berkahwin di sini, kami akan memastikan mereka memenuhi semua syarat yang ditetapkan supaya akad nikah itu sah dan sempurna.

"Antara syaratnya ialah jarak perjalanan (marhalah). Jika pasangan itu bujang atau balu, mereka mesti mengemukakan surat cerai atau sijil kematian pasangan terdahulu," katanya.

Jelas beliau, pasangan berkenaan juga perlu bersumpah tentang status wali serta status perkahwinan mereka dan jika semua syarat ini dipenuhi, akad nikah akan diteruskan.

Bagaimanapun katanya, jika dokumen yang diperlukan gagal dikemukakan, pihaknya tidak akan meneruskan pernikahan.

Mengulas mengenai kadar perkahwinan rakyat Malaysia di wilayah itu, beliau berkata, terdapat sekitar dua pasangan sehari dan hampir 100 pasangan sebulan yang berkahwin di Majlis Agama Islam Wilayah Narathiwat.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!