Jangan mudah kongsi, sebar video budak mangsa cabul - Nancy

Nancy menyempurnakan Sambutan Hari Wanita Antarabangsa 2025 Peringkat Zon Utara anjuran JPW di Kinta River Front Hotel & Suites pada Rabu. Foto Bernama
Nancy menyempurnakan Sambutan Hari Wanita Antarabangsa 2025 Peringkat Zon Utara anjuran JPW di Kinta River Front Hotel & Suites pada Rabu. Foto Bernama
A
A
A

IPOH - Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri meminta orang ramai dan pengguna media sosial tidak sewenang-wenang berkongsi video mangsa cabul di sebuah masjid di Batang Kali, Hulu Selangor pada 21 Februari lepas.

Nancy berkata, kanak-kanak perempuan yang menjadi mangsa itu dilindungi di bawah Akta Kanak-Kanak 2001 dan perbuatan menyebar serta berkongsi video berkenaan adalah tidak wajar.

"Hari-hari kita bercakap tentang hal ini, masih juga terjadi. Kita harap sesiapa yang terima video atau berada di situ (tempat kejadian) tidak semudahnya berkongsi keadaan mangsa cabul yang tentunya masih trauma dengan kejadian berkenaan,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Sambutan Hari Wanita Antarabangsa peringkat zon utara di sini pada Rabu.

Nancy berkata, pihaknya sedia bekerjasama dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi membantu kes itu, termasuk memberi pandangan terutama isu berkaitan kebajikan mangsa serta keluarganya.

Dalam pada itu, beliau turut memohon pihak masjid memperketat aspek keselamatan supaya kejadian sama tidak berulang terutama menjelang Ramadan dan umat Islam akan menunaikan solat tarawih.

"CCTV (kamera litar tertutup) dan fasiliti keselamatan lain boleh digunakan supaya tidak ada pihak yang boleh mengambil kesempatan dengan mudah di dalam kawasan masjid,” katanya. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!