Malaysia tidak darurat, bekalan makanan cukup - Ahmad Zahid

KUALA LUMPUR - Kapasiti bekalan makanan di Malaysia mencukupi untuk sekurang-kurangnya enam bulan, sekali gus tidak memerlukan negara mengambil langkah kecemasan bagi menghadapi kemungkinan gangguan bekalan barangan keperluan asas ketika ini.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, kerajaan sentiasa memastikan keterjaminan makanan negara berada pada tahap yang baik, selain menjamin bekalan barangan keperluan asas mencukupi untuk rakyat dan individu yang berada di negara ini.
"Kita tidak nampak adanya keperluan ke arah itu kerana dari segi keterjaminan makanan dan tahap simpanan, ia mencukupi.
"Kita tahu bahawa sekurang-kurangnya kita mempunyai kapasiti selama enam bulan dari segi keterjaminan makanan,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Mesyuarat Kerjasama Malaysia-China dalam Pelaburan, Perdagangan dan Pemerkasaan Ekonomi di sini pada Isnin.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas langkah beberapa negara yang dilaporkan mengeluarkan panduan kepada rakyat supaya menyimpan bekalan makanan dan barangan keperluan asas sebagai persediaan menghadapi kemungkinan kecemasan.
Ahmad Zahid menegaskan Malaysia ketika ini tidak berada dalam keadaan darurat yang memerlukan rakyat menyimpan bekalan makanan dan barangan keperluan asas untuk menghadapi situasi kecemasan.
"Kita tidak berada dalam keadaan darurat dan insya-ALLAH jauh daripada keadaan darurat itu,” katanya.
Sebelum ini, sekurang-kurangnya 33 negara di seluruh dunia dilaporkan mengeluarkan panduan menggalakkan rakyat menyimpan bekalan makanan, air minuman dan barangan keperluan asas sebagai persediaan menghadapi kemungkinan kecemasan.
Menurut laporan media antarabangsa, langkah itu diambil susulan pelbagai ancaman global, termasuk konflik bersenjata, cuaca ekstrem, gangguan bekalan elektrik dan serangan siber.
Antara negara yang mempergiat kempen kesiapsiagaan ialah Perancis dan United Kingdom, yang menyarankan penduduk menyediakan bekalan keperluan asas mencukupi untuk sekurang-kurangnya 72 jam atau tiga hari. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

