Usaha berdamai dengan madu, Nora Ariffin mohon maaf

PENYANYI Datuk Nora Ariffin tampil membuat permohonan maaf secara terbuka kepada madunya yang dikenali sebagai Puan Rose dan anak tirinya, Alia susulan konflik yang berlaku di antara mereka.
Jelas pemilik nama sebenar Norafizah Datuk Wan Ariffin itu, sejak awal lagi beliau telah berusaha dalam pelbagai cara untuk berbaik dan berdamai dengan pihak isteri pertama dan keluarga melalui suaminya, Dr Rushdi Ramli.
"Pada 2 Disember tahun lalu, saya dan Rushdi telah menyerahkan surat kepada Alia bagi jemputan mediasi ditetapkan untuk menyelesaikan setiap masalah, dengan cara terhormat.
“Namun, Alia tidak hadir dan tidak mengendahkan meditasi yang ditetapkan," katanya dalam satu kenyataan.
Bagaimanapun, anak tirinya itu telah memuat naik pelbagai kenyataan menerusi media sosial dan secara tidak langsung menjatuhkan reputasi serta membangkitkan kebencian masyarakat terhadap Nora.
“Saya telah menerima pelbagai tohmahan tidak berasas dan kebencian yang melampau daripada masyarakat sehingga menjejaskan reputasi serta kerjaya sebagai sebagai penyanyi yang sudah berkecimpung dalam industri ini sejak tahun 1991 lagi,” ujarnya.

Nora juga mengakui telah menghantar notis tuntutan kepada Alia pada 4 Februari lalu yang menuntut antara lainnya agar anak tirinya itu berhenti menyebarkan sebarang kenyataan fitnah atau memudaratkan serta-merta di mana-mana laman web, media sosial atau platform lain dan membuat permohonan maaf.
Bagaimanapun apa yang mengecewakan, Alia hanya membalas notis tersebut pada 25 Februari lalu dan tidak mengikut tuntutan yang telah dinyatakan.
“Alia maklumkan hanya mahu menurunkan pernyataan-pernyataan yang telah dibuat di media sosial dan sudah mendapat tontonan umum atas permintaan bapanya semata-mata serta memohon untuk mengadakan perjumpaan bersama saya.
"Tiada permohonan maaf disampaikan dan pembayaran kompensasi dilaksanakan oleh pihak Alia.
"Balasan Alia amat menyedihkan berikutan saya telah lama mengalami banyak mudarat yang melampau dan kerugian akibat pernyataan-pernyataan yang diterbitkan itu," katanya lagi.
Terdahulu, Nora mendedahkan dalam proses memujuk suami agar menceraikannya buat kali kedua demi memenuhi permintaan anak tiri yang dikatakan sudah lama mengharapkan mereka berpisah.
12 Ogos tahun lalu, Nora membuat kejutan apabila memuat naik video Rushdi menceraikannya dengan talak satu dalam video berdurasi 52 saat dalam Instagram.
Bagaimanapun, tidak lama selepas itu Nora mengesahkan sudah rujuk semula dengan Rushdi pada 14 September 2024.
Pasangan terbabit sah sebagai suami isteri pada 2021 dan Rushdi merupakan sahabat baik suami Nora sebelum ini, Allahyarham Johan Nawawi yang meninggal dunia pada 24 Mac 2017 akibat serangan jantung.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!


