Tema 'Kesepaduan ASEAN Demi Keselamatan dan Kemakmuran' perkukuh kerjasama pertahanan serantau

Mesyuarat Pemukiman ADMM selama dua hari menghimpunkan menteri-menteri pertahanan dan pegawai kanan dari kesemua 10 negara anggota ASEAN serta negara pemerhati, Timor-Leste.
Mesyuarat Pemukiman ADMM selama dua hari menghimpunkan menteri-menteri pertahanan dan pegawai kanan dari kesemua 10 negara anggota ASEAN serta negara pemerhati, Timor-Leste.
A
A
A

GEORGE TOWN - Malaysia selaku Pengerusi Mesyuarat Menteri-Menteri Pertahanan ASEAN (ADMM) dan ADMM-Plus tahun ini memperkenalkan tema 'Kesepaduan ASEAN Demi Keselamatan dan Kemakmuran' sebagai landasan utama dalam memperkukuh kerjasama pertahanan serantau.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, tema tersebut mencerminkan keyakinan Malaysia bahawa aspek keselamatan merupakan asas kepada pertumbuhan ekonomi, kestabilan serta kesejahteraan rakyat.

Menurutnya, dengan perpaduan yang kukuh, ASEAN mampu menghadapi landskap geopolitik yang semakin mencabar dan memastikan rantau ini kekal aman serta makmur.

“Dalam era di mana cabaran keselamatan semakin kompleks dan merentasi sempadan, kerjasama serantau yang erat amat diperlukan.

"ASEAN berdepan ancaman keselamatan tradisional dan bukan tradisional yang tidak boleh ditangani secara bersendirian. Oleh itu, keupayaan kolektif perlu dipertingkatkan bagi memastikan respons yang lebih berkesan dan proaktif,” katanya ketika menyampaikan ucapan pembukaan Sesi Pemukiman Menteri-Menteri Pertahanan ASEAN (ADMM Retreat) di sini pada Rabu.

Mesyuarat Pemukiman ADMM selama dua hari itu menghimpunkan menteri-menteri pertahanan dan pegawai kanan dari kesemua 10 negara anggota ASEAN serta negara pemerhati, Timor-Leste.

Mesyuarat itu juga akan diteruskan dengan pertemuan dua hala sempena pemukiman tersebut.

Mohamed Khaled menambah, tema itu juga seiring dengan tema Pengerusi ASEAN Malaysia tahun ini, iaitu 'Keterangkuman dan Kemampanan' yang menekankan keperluan ASEAN untuk bersifat inklusif bagi memastikan setiap negara anggota memiliki keupayaan setara dalam menangani ancaman keselamatan.

"Apa yang Malaysia mahu tegaskan adalah strategi keselamatan serantau harus berdaya maju serta lestari dalam jangka panjang bagi menjamin kestabilan dan kesejahteraan ASEAN untuk generasi akan datang.

Artikel Berkaitan:

"Sebagai Pengerusi ADMM tahun ini, Malaysia komited untuk memajukan beberapa keutamaan pertahanan utama yang mencerminkan cabaran keselamatan semasa dan yang bakal muncul.

"Yang pertama adalah kecerdasan buatan (AI) dan keselamatan siber dalam pertahanan, keselamatan maritim, bantuan kemanusian dan pengurusan bencana termasuk mencari dan menyelamat, kerjasama industri pertahanan, ancaman keselamatan daripada pelaku bukan negara dan risiko biosekuriti," katanya.

Mohamed Khaled menambah, Malaysia yakin bahawa melalui kerjasama dalam bidang-bidang kritikal ini, negara anggota dapat memperkukuh kedudukan keselamatan kolektif dan menyumbang kepada ASEAN yang stabil serta makmur.

"Memandangkan kita berdepan ancaman keselamatan daripada pelaku bukan negara dan risiko biosekuriti, ASEAN mesti meningkatkan kesiapsiagaan dan kerjasama bagi menangani cabaran ini dengan lebih berkesan.

"Komitmen bersama terhadap keselamatan serantau mesti kekal teguh dan kita harus mengambil peluang ini untuk memperkukuh perpaduan serta merangka hala tuju strategik ke hadapan.

"Saya berharap perbincangan yang produktif dan hasil yang bermakna dapat dicapai bagi memperkukuh usaha kolektif kita dalam memastikan ASEAN yang aman serta berdaya tahan," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!