Kegiatan 'ali baba' perlu dibendung

ISU peniaga warga asing yang menguasai perniagaan seperti gerai makan, pasar borong, kedai karpet dan sebagainya bukanlah perkara baharu dan ia masih berlarutan sehingga kini meskipun operasi penguatkuasaan telah dijalankan oleh pelbagai pihak termasuk Jabatan Imigresen Malaysia dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).
Isu ini masih berlarutan berikutan kegiatan 'ali baba' terus dijalankan dalam kalangan rakyat tempatan yang bertindak memberi lesen perniagaan kepada warga asing sekali gus menyumbang kepada monopoli perniagaan oleh kelompok terbabit.
Berdasarkan operasi yang dijalankan oleh PBT sebelum ini membongkar banyak kegiatan penyewaan lesen dan tapak niaga daripada rakyat tempatan kepada warga asing untuk mengendalikan premis perniagaan atau gerai.
Amalan ini bukan sahaja melanggar peraturan perniagaan tempatan, tetapi juga memberi kesan besar kepada ekonomi dan keselamatan negara.
Kegiatan 'ali baba' menyebabkan warga asing mendominasi sektor perniagaan tertentu khususnya di pasar borong.
Hal ini menyebabkan ketidakseimbangan dalam pasaran kerana peniaga tempatan sukar bersaing dengan warga asing yang mungkin memiliki rangkaian bekalan lebih murah atau strategi perniagaan lebih agresif.
Kesan daripada monopoli perniagaan daripada warga asing ini menyebabkan perniagaan kecil milik rakyat tempatan terpinggir serta melemahkan daya saing ekonomi tempatan.
Malah monopoli perniagaan oleh warga asing bukan sekadar isu ekonomi tetapi turut melibatkan keselamatan negara kerana kemasukan pekerja asing tanpa kawalan yang jelas boleh membuka ruang kepada kegiatan haram seperti penyeludupan dan eksploitasi buruh.
Selain itu, tindakan segelintir peniaga tempatan yang menggunakan warga asing tanpa permit sah turut memburukkan lagi keadaan.
Jika tidak dikawal, perkara ini boleh memberi kesan negatif terhadap kestabilan sosial dan ekonomi negara.
Ramai dalam kalangan mereka memegang kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNCHR) sekali gus membenarkan mereka bekerja di Malaysia.
Namun ketiadaan pemantauan ketat membolehkan mereka terus berniaga, malah menjadi 'bos' dalam sektor ini susulan amalan 'ali baba' tersebut yang membolehkan peniaga warga asing menggunakan lesen milik individu tempatan untuk beroperasi.
Justeru, PBT perlu bekerjasama lebih erat dengan pihak jabatan imigresen bagi mengenal pasti dan menghentikan aktiviti perniagaan haram warga asing yang berleluasa di negara ini.
Pemantauan berkala serta hukuman lebih berat terhadap pihak yang menyewakan lesen kepada warga asing juga perlu dilaksanakan.
Pihak PBT perlu memperketatkan pemantauan dan meningkatkan operasi bersepadu dengan agensi berkaitan seperti Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) supaya memastikan semua peniaga mematuhi syarat lesen yang ditetapkan.
Pemilik gerai yang terbukti terlibat dalam kegiatan 'ali aba' pula wajar dikenakan tindakan tegas seperti pembatalan lesen perniagaan serta denda yang lebih berat bagi mengelakkan perkara sama berulang.
Kerajaan juga boleh mempertimbangkan dasar yang lebih ketat dalam pemberian lesen perniagaan seperti mengadakan pemeriksaan berkala bagi memastikan lesen hanya diberikan kepada individu yang benar-benar menjalankan perniagaan secara sah.
Penggunaan sistem pemantauan digital juga boleh diperkenalkan bagi mengenal pasti pemilik sebenar gerai dan memastikan tiada penyalahgunaan lesen berlaku.
* Nurfardlina Izzati Moktar ialah wartawan Sinar Harian Terengganu
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
