Kemas kini undang-undang seiring kemajuan teknologi

Menurut SPRM, penyalahgunaan teknologi seperti ancaman siber boleh mewujudkan rasuah bentuk baharu. Gambar hiasan (Gambar kecil: Hakim Hafizi)
Menurut SPRM, penyalahgunaan teknologi seperti ancaman siber boleh mewujudkan rasuah bentuk baharu. Gambar hiasan (Gambar kecil: Hakim Hafizi)
A
A
A

SHAH ALAM - Kerajaan dicadang mengemas kini undang-undang sedia ada bagi memastikan ia kekal relevan terutamanya dalam membanteras rasuah yang wujud daripada kemajuan teknologi sekarang.

Presiden Pertubuhan Perdana Nasional, Abdul Hakim Hafizi Hamizan berkata, akta sedia ada tidak mempunyai peraturan khusus menangani ancaman teknologi kecerdasan buatan (AI) yang boleh memanipulasi dan menyembunyikan transaksi haram atau mempengaruhi keputusan dalam sistem kerajaan serta korporat.

“Undang-undang sedia ada seperti Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan Akta Jenayah Komputer 1997 memang sudah menjadi asas dalam menangani jenayah rasuah serta penyalahgunaan teknologi.

“Namun, dengan evolusi pesat dunia digital terdapat beberapa jurang yang boleh dieksploitasi oleh pelaku jenayah melaksanakan rasuah dalam bentuk baharu.

“Contoh, sistem e-tender kerajaan, AI boleh digunakan untuk mencipta keutamaan palsu dalam pemilihan kontraktor melalui analisis data yang berat sebelah.

"Algoritma pemarkahan sistem perolehan juga boleh diubah secara automatik bagi memberi kelebihan kepada syarikat tertentu tanpa dikesan oleh manusia,” katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.

Sebelum ini, penyalahgunaan teknologi seperti ancaman siber boleh mewujudkan rasuah bentuk baharu, kata Ketua SPRM, Tan Sri Azam Baki.

Beliau berkata, justeru, Malaysia perlu memperkukuh kerjasama dengan pelbagai pihak berkepentingan untuk membangunkan penyelesaian teknologi dan amalan terbaik dalam ketelusan serta tadbir urus.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, Hakim Hafizi berpandangan, teknologi perlu dimanfaatkan sebagai alat meningkatkan ketelusan atau kecekapan dalam tadbir urus dan bukannya menjadi ruang baharu untuk ketirisan serta penyalahgunaan kuasa.

“Ya, tidak dapat dinafikan lagi dengan dunia digital yang semakin canggih, wujud risiko rasuah dalam transaksi mata wang kripto dan teknologi blockchain walaupun kedua-duanya dibangunkan dengan prinsip ketelusan serta keselamatan.

“Saya juga berpendapat cadangan pindaan, pengenalan peraturan Know Your Customer (KYC) dan Anti-Money Laundering (AML) yang lebih ketat wajar dilakukan, memastikan semua transaksi mata wang kripto boleh dikesan serta diaudit,” ujarnya.

Tambah beliau, untuk mengelakkan rasuah dalam teknologi semakin berkembang, kerajaan wajar bertindak lebih proaktif mengesan dan membanteras rasuah digital.

“Kerajaan perlu bertindak segera dengan menggubal undang-undang lebih ketat serta memperkenalkan mekanisme pemantauan digital yang lebih berkesan,” kata beliau.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!