200 graduan IPT yang cemerlang terima RM1,000

200 graduan lepasan ijazah sarjana muda dan sarjana IPT seluruh negara menerima anugerah dalam Majlis Anugerah Kecemerlangan Akademik Yayasan Bank Rakyat 2024 (Gambar kecil: Philip)
200 graduan lepasan ijazah sarjana muda dan sarjana IPT seluruh negara menerima anugerah dalam Majlis Anugerah Kecemerlangan Akademik Yayasan Bank Rakyat 2024 (Gambar kecil: Philip)
A
A
A

KUALA LUMPUR - Seramai 200 graduan institut pengajian tinggi (IPT) seluruh negara yang memperoleh pencapaian Purata Nilai Gred Keseluruhan (PNGK) 3.5 ke atas menerima anugerah kecemerlangan dan diraikan dalam Majlis Anugerah Kecemerlangan Akademik Yayasan Bank Rakyat (YBR) 2024.

Pengerusi YBR, Datuk Philip Benedict Lasimbang berkata, graduan yang terpilih dalam kalangan lepasan ijazah sarjana muda dan sarjana, membawa pulang ganjaran wang tunai bernilai RM1,000 sebagai tanda penghargaan terhadap pencapaian cemerlang sepanjang tempoh pengajian mereka.

Menurut beliau, penghargaan itu merupakan tanda sokongan YBR dalam agenda pendidikan bagi melahirkan modal insan mahir kepada negara.

"Anugerah ini mula dilaksanakan pada 2018, dan ketika itu hanya 25 graduan sahaja yang menerima penghargaan daripada YBR.

"Peningkatan kepada 200 graduan yang menerima Anugerah Kecemerlangan sejak 2023 menunjukkan kebolehan lepasan universiti negara dalam usaha melahirkan lebih ramai tenaga mahir," katanya ketika berucap pada Majlis Anugerah Kecemerlangan Akademik YBR 2024 di Hotel Wyndham Grand Bangsar, di sini pada Selasa.

Turut hadir, Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (Kuskop), Datuk Ewon Benedict; Ketua Pegawai Eksekutif YBR, Syaiful Rizal Abdul Ghani dan Lembaga Pemegang Amanah YBR.

Ewon Benedict
Ewon Benedict

Tambah Philip, YBR telah memperuntukkan wang tunai sebanyak RM200,000 pada tahun ini beserta sijil penghargaan kepada graduan yang berjaya menamatkan pengajian bermula Januari 2022 sehingga Ogos 2024.

Artikel Berkaitan:

"Tahun ini YBR menganugerahkan seramai 150 graduan dari peringkat ijazah sarjana muda dan 50 graduan sarjana.

"Semoga dengan pencapaian anugerah tersebut dapat memberi dorongan dan memotivasikan graduan untuk lebih berjaya pada masa akan datang," katanya.

Sementara itu, Ewon dalam ucapan perasmiannya berkata, bantuan pendidikan di bawah YBR mampu menyuntik semangat kepada pelajar-pelajar untuk memperoleh kejayaan di peringkat pengajian tinggi.

Beliau mengatakan, inisiatif tersebut sedikit sebanyak membantu graduan lepasan negara membina masa depan yang lebih gemilang.

"Tahniah kepada semua penerima anugerah pada tahun ini.

"Saya juga amat berterima kasih kepada YBR kerana sentiasa memberikan komitmen yang tidak berbelah bahagi dalam meningkatkan tahap pendidikan negara ke peringkat lebih tinggi," katanya.

Dalam pada itu, YBR turut menyerahkan komputer riba kepada 25 pelajar terbaik matrikulasi yang menerima tajaan biasiswa yayasan tersebut untuk melanjutkan pengajian ke peringkat ijazah sarjana muda.

Inisiatif berkenaan merupakan jalinan usaha bersama Bahagian Matrikulasi Kementerian Pendidikan Malaysia (BMKPM).

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!