Pegawai masjid jangan pandang remeh garis panduan teks khutbah Jumaat

IPOH - Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) Perak menggesa pegawai masjid tidak memandang remeh garis panduan berkaitan teks khutbah Jumaat ditetapkan oleh pihak berkuasa agama negeri.
Yang Dipertuanya, Mohamad Saifuddin Abdul Latiff berkata, hal itu kerana ahli agamawan dan profesional bertauliah yang menganggotai agensi berkaitan agama Islam itu sudah membuat penelitian mendalam ketika menyediakan teks khutbah berkenaan.
Menurutnya, perkara itu dilakukan bagi memastikan isi kandungan khutbah mingguan yang disampaikan kepada masyarakat sesuai bertujuan menjaga keharmonian umat sekaligus mengelak perpecahan.
"Khutbah adalah satu medium ilmu dan dakwah dalam Islam kerana ia menjadi satu kewajipan di dalam solat Jumaat khususnya. Khutbah yang berkesan akan memberikan pengisian rohani yang terbaik kepada jemaah sekaligus membina kesedaran dan berlaku penerapan budaya dalam kalangan masyarakat Islam khususnya.
"Saya berpendapat jika perkara ini dipandang remeh oleh pegawai masjid yang menjalankan tugas, ia akan membawa kesan yang buruk pada hari mendatang," katanya dalam satu kenyataan kepada Sinar Harian pada Selasa.
Mohamad Saifuddin berkata, penyatuan ummah ketika ini dilihat semakin rapuh akibat sentimen perkauman dan perbezaan ideologi dalam laman-laman media sosial berpunca daripada permainan persepsi, budaya fitnah dan hasutan sesetengah individu atau pihak terutamanya parti politik.
Jelasnya, perkara tersebut bukan sahaja merencatkan proses integrasi nasional, bahkan mampu menggugat keharmonian kaum dan agama serta keselamatan rakyat.
"Kita perlu menyedari hakikat kehidupan yang aman adalah impian setiap manusia dalam sesebuah masyarakat. Namun, kedamaian sukar dicapai jika setiap individu bersikap mementingkan diri sendiri, kumpulan atau kelompoknya sahaja.
"Dalam menghadapi kepelbagaian pendapat dan ideologi yang ada, Rasulullah SAW sebagai contoh teladan yang terbaik, tidak menganggapnya sebagai satu permasalahan besar dalam menjalin interaksi sosial dan keharmonian masyarakat," ujarnya.
Jelas Mohamad Saifuddin, Baginda sedar kemajmukan yang ada sama ada di dalam agama atau merentas agama dan dari semua perbezaan itu, terdapat perkara lebih penting untuk dipertahankan iaitu kesatuan serta perpaduan masyarakat.
Menurutnya, keharmonian hanya akan dapat dicapai jika setiap individu saling menghormati dan mengutamakan sikap toleransi terutama bersikap profesional dalam menjalankan tugas yang telah diamanahkan.
Pada 9 Februari lalu, media melaporkan Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) telah menggantung sementara tugas empat imam di negeri ini susulan aduan tidak membacakan teks khutbah Jumaat yang disediakan jabatan itu pada 31 Januari lalu.
Timbalan Pengarah JAIPk, Zakaria Abd Razak menjelaskan tindakan itu berkuat kuasa 6 Februari lepas membabitkan imam masjid masing-masing dua di Teluk Intan, Parit Buntar dan Kuala Kangsar.
Keputusan itu dibuat melalui Mesyuarat Jawatankuasa Tatatertib JAIPk selaras dengan Peraturan-Peraturan Pegawai Masjid Negeri Perak 2018.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!