Isu khutbah Jumaat: Empat imam digantung tugas, kata JAIPk

Zakaria (kiri) bersama Pengerusi Masjid Muhammadiah, Datuk Dr Fadzil Cheah Abdullah sempena sambutan Tahun Baharu Cina di Masjid Muhammadiah atau dikenali Masjid Cina dekat Taman Tasek Jaya pada Ahad.
Zakaria (kiri) bersama Pengerusi Masjid Muhammadiah, Datuk Dr Fadzil Cheah Abdullah sempena sambutan Tahun Baharu Cina di Masjid Muhammadiah atau dikenali Masjid Cina dekat Taman Tasek Jaya pada Ahad.
A
A
A

IPOH - Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) telah menggantung sementara tugas empat imam di negeri ini susulan aduan tidak membacakan teks khutbah Jumaat yang disediakan jabatan itu pada 31 Januari lalu.

Timbalan Pengarah JAIPk, Zakaria Abd Razak berkata, tindakan itu berkuat kuasa 6 Februari lepas membabitkan imam masjid masing-masing dua di Teluk Intan, Parit Buntar dan Kuala Kangsar.

Menurutnya, keputusan itu dibuat melalui Mesyuarat Jawatankuasa Tatatertib JAIPk selaras dengan Peraturan-Peraturan Pegawai Masjid Negeri Perak 2018.

"Pergantungan ini melibatkan tugas mereka sebagai imam dan penerimaan elaun perkhidmatan.

Zakaria (dua dari kiri) bersama Pengerusi Masjid Muhammadiah, Datuk Dr Fadzil Cheah Abdullah (kiri) sempat menyampaikan sumbangan duit raya kepada kanak-kanak yang hadir.
Zakaria (dua dari kiri) bersama Pengerusi Masjid Muhammadiah, Datuk Dr Fadzil Cheah Abdullah (kiri) sempat menyampaikan sumbangan duit raya kepada kanak-kanak yang hadir.

"Tempoh pergantungan bergantung kepada keputusan mesyuarat jawatankuasa yang akan datang.

"Kemungkinan pada awal Ramadan nanti kita akan bersidang semula untuk memutuskan sama ada ditamatkan atau mengambil tindakan tatatertib yang lain," katanya kepada pemberita ketika ditemui dalam majlis sambutan Tahun Baharu Cina di Masjid Muhammadiah atau dikenali Masjid Cina dekat Taman Tasek Jaya di sini pada Ahad.

Zakaria berkata, isu melibatkan teks khutbah tersebut turut mendapat perhatian Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah yang mahu tindakan tegas diambil terhadap pihak terlibat.

Artikel Berkaitan:

Katanya, dalam hal itu, baginda menyifatkan individu yang berperanan sebagai imam dan pegawai masjid perlulah menjalankan tugas dan peranan sebagaimana ditetapkan dalam peraturan.

"Pentauliahan dan watikah sebagai imam ini, semuanya disampaikan oleh Tuanku, jadi sudah tentulah baginda dukacita dan minta tindakan tegas dibuat," katanya.

Mengulas lanjut, Zakaria berkata, siasatan dijalankan mendapati, empat imam tersebut masing-masing membacakan teks khutbah disediakan pihak berkuasa agama negeri Pulau Pinang, Kedah, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan satu teks khutbah JAIPk tahun 2023.

Ujarnya, faktor teknikal yang dijadikan alasan bahawa teks khutbah JAIPk tidak dapat dibaca pada hari kejadian sama sekali tidak munasabah.

"Kebiasannya, teks memang disediakan di mimbar dan jika ada yang membawa sendiri dalam poket atau mempunyai teks lain, kesalahan itu sudah tentulah nampak ketara.

"Pada masa akan datang, kita minta pengerusi masjid dan jawatankuasanya memantau perkara ini dengan memastikan tajuk khutbah sebenar yang perlu dibaca," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!