Isu khutbah Jumaat: JAIPk mulakan siasatan

Timbalan Pengarah JAIPk, Zakaria Abd Razak berkata, pihaknya sudah pun menerima laporan berhubung perkara tersebut dan siasatan telah dibuat pada 3 Februari lalu.
Menurutnya, JAIPk akan mengambil tindakan lanjut hasil siasatan yang dibuat selaras dengan Peraturan-Peraturan Pegawai Masjid Negeri Perak 2018.
"Pegawai masjid harus menghormati pihak berkuasa agama kerana JAIPk bertanggungjawab menentukan kandungan khutbah yang sesuai. Oleh itu, pegawai masjid harus menunaikan amanah dengan baik dan mengikuti peraturan yang ditetapkan.
"Sekiranya kesalahan ini berulang, tindakan selanjutnya akan diambil selaras dengan peraturan sedia ada," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Dalam pada itu, Zakaria mengingatkan semua pegawai masjid agar memastikan mereka mematuhi garis panduan JAIPk agar khutbah yang disampaikan memberi manfaat, menjaga keharmonian umat dan mengelakkan perpecahan.
"Pegawai masjid perlu mematuhi arahan JAIPk dengan membaca teks khutbah rasmi yang disediakan. Ini penting untuk mengelakkan kekeliruan dalam kalangan jemaah dan memastikan mesej yang disampaikan selari dengan garis panduan agama serta pihak berkuasa.
"Khutbah rasmi juga bertujuan untuk memastikan rukun-rukun khutbah yang lengkap, menyatukan umat Islam dan memastikan penyelarasan dalam penyebaran maklumat dalam masyarakat," katanya.
Pada 3 Februari lalu, polis menyerahkan siasatan kes khatib yang tidak membacakan khutbah Jumaat disediakan pihak berkuasa agama negeri ini kepada JAIPk untuk siasatan lanjut.
Pemangku Ketua Polis Perak, Deputi Komisioner Zulkafli Sariaat berkata, setakat ini pihaknya telah pun merakam keterangan dua individu yang tampil membuat laporan polis berhubung perkara tersebut.
Sebelum ini, seorang bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Titi Serong, Hasnul Zulkarnain Abd Munaim membuat laporan polis mendakwa seorang imam di sebuah masjid di Teluk Intan enggan membaca teks khutbah terkini disediakan JAIPk sebaliknya menggunakan teks pada tahun 2023.
Jelasnya, tindakan itu disifatkan satu keingkaran kerana melanggar titah Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah kerana Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk) dan JAIPk berada di bawah naungan baginda.
Bagaimanapun, imam yang bertugas di Masjid Sultan Idris Shah II, Teluk Intan itu tampil membuat laporan polis mendakwa bekas wakil rakyat itu membuat fitnah ke atasnya berhubung isu khutbah Jumaat berkenaan.
Mohamad Lotfi Samsudin berkata, tuduhan Hasnul Zulkarnain bahawa dirinya melanggar titah Sultan Nazrin tidak berasas sama sekali dan akan mengambil tindakan undang-undang terhadap dakwaan tersebut.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!