Isu khutbah Jumaat: Patuhi garis panduan demi keharmonian masyarakat

Laporan Sinar Harian berkaitan isu khutbah Jumaat.
Laporan Sinar Harian berkaitan isu khutbah Jumaat.
A
A
A

IPOH - Disiplin dan pematuhan terhadap garis panduan yang ditetapkan Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) amat penting demi menjaga keharmonian serta kelancaran pentadbiran agama Islam di negeri ini.

Pertubuhan Ikram Malaysia (Ikram) Perak dalam satu kenyataan berpendapat, kepatuhan terhadap garis panduan itu penting demi mengelakkan salah faham dalam masyarakat serta memastikan penyampaian mesej yang selaras dan jelas kepada umat Islam.

Pihaknya juga mengambil maklum tentang tindakan penggantungan sementara tugas empat imam di Perak dan menghormati langkah yang diambil oleh JAIPk berdasarkan Peraturan-Peraturan Pegawai Masjid Negeri Perak 2018.

"Ikram Negeri Perak menyeru semua pihak khususnya imam dan pegawai masjid supaya mematuhi peraturan yang telah ditetapkan pihak berkuasa agama masing-masing.

"Dalam masa sama kita juga menggalakkan pendekatan berlandaskan hikmah dalam menangani isu-isu seperti ini. Prinsip musyawarah, keadilan dan kasih sayang dalam membuat keputusan amat perlu," katanya dalam satu kenyataan kepada Sinar Harian pada Selasa.

Ikram Perak juga percaya bahawa ruang dialog dan komunikasi yang terbuka dapat membantu menyelesaikan isu tersebut secara harmoni sambil memastikan semua pihak dapat memberikan penjelasan dengan sewajarnya.

Katanya, dalam menghargai usaha JAIPk memelihara keutuhan institusi agama di negeri ini, peranan besar yang dimainkan oleh imam dalam membimbing masyarakat dari segi rohani dan moral perlu diiktiraf.

Jelasnya, sokongan dan bimbingan berterusan kepada imam-imam di seluruh negeri amat penting untuk memastikan mereka dapat melaksanakan tanggungjawab dengan lebih berkesan.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, pihak Ikram Perak berharap semua pihak dapat menjadikan isu tersebut sebagai peluang untuk memperkukuh ukhuwah Islamiah, memperbaiki sistem sedia ada serta mengukuhkan persefahaman di antara masyarakat, imam dan institusi agama.

Pada 9 Februari lalu, media melaporkan JAIPk telah menggantung sementara tugas empat imam di negeri ini susulan aduan tidak membacakan teks khutbah Jumaat disediakan jabatan itu pada 31 Januari lalu.

Timbalan Pengarah JAIPk, Zakaria Abd Razak menjelaskan tindakan itu berkuat kuasa 6 Februari lepas membabitkan imam masjid masing-masing dua di Teluk Intan, Parit Buntar dan Kuala Kangsar.

Keputusan itu dibuat melalui Mesyuarat Jawatankuasa Tatatertib JAIPk selaras dengan Peraturan-Peraturan Pegawai Masjid Negeri Perak 2018.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!