Titah Adendum: Rayuan AGC bagi dokumen tambahan didengar 24 Mac

PUTRAJAYA – [DIKEMAS KINI] Permohonan kebenaran rayuan oleh Jabatan Peguam Negara (AGC) berhubung kes Titah Adendum berkaitan dokumen tambahan membabitkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di Mahkamah Persekutuan di sini akan didengar pada 24 Mac depan.
Peguam Kanan Persekutuan, Ahmad Hanir Hambaly @ Arwi berkata, mahkamah menetapkan tarikh tersebut ketika pengurusan kes yang dibuat secara dalam talian, di hadapan Timbalan Pendaftar, Wan Fatimah Zaharah Wan Yusoff.
Menurutnya, mahkamah turut memerintahkan responden dan pemohon memfailkan hujahan bertulis pada atau sebelum 10 Mac, sementara pengurusan kes seterusnya pada 11 Mac depan.
Pada 4 Februari lalu, AGC memfailkan notis usul itu bagi memastikan semua hak yang diperuntukkan oleh undang-undang dapat dilaksanakan sepenuhnya.
Pada 6 Januari, Mahkamah Rayuan, menerusi keputusan majoriti 2-1, mengembalikan kes itu ke Mahkamah Tinggi untuk pendengaran merit selepas Mahkamah Rayuan membenarkan rayuan Najib terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang menolak permohonannya untuk mendapatkan kebenaran memulakan semakan kehakiman.
Najib, 72, memohon perintah mandamus bagi memaksa responden memberikan jawapan serta mengesahkan kewujudan dokumen tambahan bertarikh 29 Januari 2024.
Bekas Ahli Parlimen Pekan itu menamakan Menteri Dalam Negeri, Komisioner Jeneral Penjara, Peguam Negara, Lembaga Pengampunan bagi Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Ketua Pengarah Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang di JPM, serta Kerajaan Malaysia sebagai responden.
Beliau juga memohon perintah supaya sekiranya dokumen tambahan itu wujud, semua responden atau mana-mana seorang daripada mereka perlu melaksanakannya dan memindahkan beliau dari Penjara Kajang ke kediamannya di Kuala Lumpur bagi menjalani baki hukuman penjara di rumah.
Pada 3 Julai 2024, Hakim Datuk Amarjeet Singh menolak permohonan Najib untuk mendapatkan kebenaran semakan kehakiman, dengan memutuskan bahawa empat afidavit yang menyokong dakwaan tersebut termasuk kenyataan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, dan Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, dianggap sebagai khabar angin dan tidak boleh diterima sebagai bukti di mahkamah.
Najib sedang menjalani hukuman di Penjara Kajang sejak 23 Ogos 2022, selepas disabitkan kesalahan menyeleweng dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd. Beliau memfailkan petisyen pengampunan diraja pada 2 September 2022.
Mahkamah Tinggi sebelum ini menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta terhadap Najib.
Keputusan itu dikekalkan oleh Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan selepas menolak rayuannya.
Bagaimanapun, Lembaga Pengampunan kemudian mengurangkan hukuman penjara Najib daripada 12 tahun kepada enam tahun, manakala denda dikurangkan daripada RM210 juta kepada RM50 juta.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

