Jabatan Peguam Negara hentikan prosiding kes perhimpunan di Sabah

Laporan Sinar Harian mahasiswa berhimpun di hadapan Menara Kinabalu.
Laporan Sinar Harian mahasiswa berhimpun di hadapan Menara Kinabalu.
A
A
A

KOTA KINABALU - Jabatan Peguam Negara memutuskan untuk tidak meneruskan pertuduhan dan memberhentikan prosiding terhadap individu yang terlibat dalam kes perhimpunan tanpa notis kebenaran yang berlangsung pada 31 Disember tahun lepas.

Menurut jabatan tersebut, penelitian semula dibuat terhadap perhimpunan yang diadakan di hadapan Menara Kinabalu, yang disiasat di bawah Seksyen 9(5) Akta Perhimpunan Aman 2012 dan Seksyen 509 Kanun Keseksaan.

"Setelah membuat pertimbangan yang teliti, Jabatan ini memutuskan untuk tidak meneruskan pertuduhan dan memberhentikan prosiding ke atas individu-individu yang terlibat selaras dengan Seksyen 254 Kanun Tatacara Jenayah,” kata jabatan itu dalam kenyataan malam ini.

Pada 31 Disember tahun lepas, Bernama melaporkan kecekapan pihak polis mengawal perhimpunan Gempur Rasuah Sabah dan Himpunan Bangkit Sabahan yang berlangsung serentak, berjaya memastikan kedua-dua perhimpunan itu berlangsung dalam keadaan aman.

Kedua-dua perhimpunan itu dijadualkan berlangsung di tempat dan masa yang sama iaitu di hadapan Menara Kinabalu pada 2 petang, dan turut diadakan Karnival Ria di kawasan sama pada hari tersebut. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!