Jakim pastikan tiada campur tangan politik, dakyah songsang di masjid di Wilayah Persekutuan

IPOH - [DIKEMAS KINI] Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) mengetatkan pemantauan dan penyelarasan di semua masjid dan surau di Wilayah Persekutuan bagi memastikan tidak berlaku sebarang penyebaran dakyah songsang dan unsur politik kepartian.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar berkata, selaku agensi kerajaan yang mentadbir hal ehwal agama Islam, Jakim akan memastikan setiap aturan dibuat dipatuhi semua institusi berkenaan.
Menurutnya, langkah itu juga sebagai menyahut titah Sultan Perak yang mahu masjid dan surau menyebarkan ajaran sebenar tanpa dipengaruhi unsur yang menggugat keharmonian ummah.
"Saya menjunjung kasih ke atas titah Tuanku. Jakim ambil peranan memastikan titah Tuanku agar tidak ada campur tangan mana-mana kumpulan politik di masjid dan surau itu, dipatuhi.
"Juga memastikan individu yang menyampaikan ilmu, mengajar agama dan membacakan khutbah adalah kalangan mereka yang menerima pentauliahan dan diyakini berpegang kepada Ahli Sunah Waljamaah," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui dalam majlis Muzakarah Sultan Nazrin Muizzuddin Shah di Pusat Konvensyen Casuarina di sini pada Selasa.
Dalam titah perasmian muzakarah itu, Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah menzahirkan teguran kepada kalangan mereka yang menyalahguna masjid dan surau bagi menyebarkan dakyah berbaur fitnah serta kepentingan politik kepartian.
Baginda bertitah, kebelakangan ini semakin diperlihatkan perjalanan tempang dalam kalangan mereka yang merasakan diri telah bertaraf ilmuwan atau ulama; semakin kedengaran suara-suara yang menyampaikan dakyah songsang.
Menurut baginda, tazkirah, kuliah dan diskusi agama juga semakin bertukar kandungan dengan selitan bahan-bahan cercaan dan fitnah, berkecenderungan memihak atau menentang kabilah politik tertentu.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

