BRIEF-i terima tambahan dana RM100 juta

KUALA LUMPUR - Bank Rakyat mengumumkan penambahan peruntukan dana sebanyak RM100 juta bagi program pembiayaan Bank Rakyat Indian Entrepreneur Financing-i (BRIEF-i).
Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Seri R Ramanan berkata, penambahan dana itu menunjukkan komitmen berterusan Bank Rakyat di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (Kuskop) dalam menyokong serta memperkasa peniaga tempatan terutama komuniti perniagaan India.
Menurutnya, langkah tersebut memberikan usahawan India lebih banyak peluang dan akses untuk mendapatkan pembiayaan diperlukan bagi mengembangkan serta memajukan perniagaan.
“Penambahan dana RM50 juta menjadikannya RM100 juta. Diharap dapat memperluaskan lagi skop bantuan kepada lebih ramai usahawan, membolehkan mereka menambah baik infrastruktur perniagaan, meningkatkan teknologi dan memperkenalkan inovasi dalam operasi perniagaan.

“Dengan jumlah dana lebih besar, ramai usahawan dapat memanfaatkan kemudahan pembiayaan ini agar mereka kekal berdaya saing dalam industri masing-masing," katanya.
Beliau berkata demikian semasa Majlis Penyerahan Cek Cura Pembiayaan BRIEF-i di Menara Berkembar Bank Rakyat di sini pada Selasa.
Setakat 21 Februari, BRIEF-i meluluskan pembiayaan sebanyak RM49 juta kepada 512 usahawan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) di seluruh negara sejak ia dilancarkan pada Jun tahun lalu.
Bank Rakyat sebelum ini memperuntukkan RM50 juta untuk program BRIEF-i, malah ia memanfaatkan usahawan komuniti India yang terdiri daripada pelbagai sektor termasuk pengangkutan, perkhidmatan, peruncitan, makanan, minuman dan lain-lain.

Ramanan berkata, pemohon yang menerima dana tersebut turut disediakan bantuan konsultasi dan bimbingan oleh Bank Rakyat bagi memperoleh pensijilan halal dalam operasi perniagaan khususnya industri makanan dan minuman (F&B).
“Sebelum ini pemohon kena bayar beribu ringgit untuk dapatkan latihan bimbingan konsultasi daripada agensi luar.
"Kini, dengan memohon dana mana-mana produk di bawah Bank Rakyat, mereka mesti hadir kursus disediakan secara ‘in house’ kerana ia membantu memudahkan proses memperoleh sijil halal. Setakat ini mereka ada 18 perunding konsultan,” ujarnya.
Pengerusi Bank Rakyat, Datuk Mohd Irwan Mohd Mubarak pula berkata, sambutan menggalakkan yang diterima mencerminkan keberkesanan program BRIEF-i dalam menyokong PKMS di negara ini.
Justeru, pihaknya berharap dapat terus memberi impak positif kepada ekonomi melalui penambahan dana tersebut, sekali gus membantu meningkatkan taraf hidup usahawan tempatan.
“Selain itu, langkah ini juga diharap membuka lebih banyak peluang pekerjaan dan memberi manfaat kepada masyarakat secara keseluruhan.
"Sebagai agensi di bawah Kuskop, Bank Rakyat akan terus memainkan peranan penting dalam pembangunan ekosistem perniagaan tempatan dan memperkasa usahawan agar mereka berkembang maju dalam dunia bisnes yang semakin kompetitif," katanya.
Sementara itu, usahawan, V Karthiahye berterima kasih kepada Bank Rakyat dan Kuskop kerana membantu peniaga tempatan khususnya masyarakat India.
“Terima kasih kerana menyalurkan dana RM500,000 yang disumbangkan kepada syarikat saya iaitu Khutoos Wholesale Sdn Bhd.
“Ia inisiatif sangat baik dan penting kerana dapat membantu operasi perniagaan," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

