Manusia semakin hilang adab - Sultan Nazrin

IPOH - Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah menekankan bahawa kepincangan masyarakat dan pelbagai penyakit sosial yang semakin berleluasa hari ini bukan berpunca daripada kekurangan undang-undang, tetapi akibat kehilangan adab dalam kalangan manusia.
Baginda bertitah, apabila manusia merasakan akal fikiran terlebih pintar, mabuk dilambung kuasa, mereka mula beranggapan memiliki kekebalan, berupaya melakukan pelbagai helah untuk menguasai dunia dan mendominasi manusia lain.
Sikap sedemikian kata baginda, membawa kepada keadaan penyisihan hukum, undang-undang dipersenda dan dimanipulasi tanpa sedikit pun rasa gentar terhadap pembalasan akhirat.
"Kepincangan masyarakat dan penyakit sosial yang sedang melanda dunia ini hendaklah dilihat sebagai bukti yang menunjukkan bahawa sekadar memiliki undang-undang dan perundangan, tidak membawa sebarang makna.
"Penipuan, perlakuan rasuah, pecah amanah, salah guna kuasa, penindasan, penyeksaan, persengketaan, pertelingkahan, perebutan kuasa, peperangan dan pembunuhan semakin berlaku, bukan kerana kita tidak mempunyai cukup undang-undang.
"Segala-galanya berlaku kerana manusia sudah kehilangan adab," titah baginda ketika merasmikan Muzakarah Sultan Nazrin Muizzuddin Shah di Pusat Konvensyen Casuarina di sini pada Selasa.
Turut berangkat, Raja Muda Perak, Raja Jaafar Raja Muda Musa dan Raja Di Hilir Perak, Raja Iskandar Dzurkarnain Sultan Idris Shah.
Muzakarah bertemakan ‘Pemerkasaan Integrasi Antara Fiqh dengan Tasawuf’ itu turut dihadiri Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi; Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar.
Memetik pandangan Imam Malik bin Anas, Sultan Nazrin menegaskan bahawa ilmu fiqah dan tasawuf perlu diintegrasikan dalam kehidupan agar masyarakat bukan sahaja memahami hukum, tetapi mengamalkan ajaran Islam dengan penuh adab.
Titah baginda, fiqah telah menyediakan pelbagai komponen perundangan bukan sahaja merangkumi ibadah, muamalah, kekeluargaan dan jenayah, malah turut merangkumi pemeliharaan ibadah, akhlak serta peraturan sosial dan politik.
Tasawuf pula ialah daya upaya melatih jiwa dengan kegiatan-kegiatan yang dapat membersihkan diri manusia daripada pengaruh kehidupan dunia yang bersifat negatif sehingga tercermin akhlak mulia.
"Sejak terpinggirnya didikan ilmu tasawuf di bangku sekolah, manusia kini seakan-akan jasad yang hilang rohnya, tidak lagi mementingkan rohani, sebaliknya dibelenggu dengan habuan kebendaan dan keduniaan.
"Pada waktu sama, turut terdapat gerakan membenci tasawuf sehingga melahirkan generasi yang tidak beradab, malah ke peringkat bersifat biadab, menderhakai ibu bapa dan guru, generasi yang tidak malu menghina umara dan ulama, juga menyanggah dan mencabar ulul amri dengan mengucapkan kata-kata yang tidak sepatutnya keluar dari mulut seorang mukmin," titah baginda.
Pada majlis itu, Sultan Nazrin berkenan melancarkan dua buku iaitu bertajuk 'Hubungan Antara Pemerintah dan Rakyat Dalam Kerangka Ahli Sunah Waljamaah' dan 'Pengaruh Ahli Sunah Waljamaah Dalam Pembangunan Ummah' hasil karya Mufti Perak, Datuk Seri Wan Zahidi Wan Teh.
Baginda turut berkenan mendengar pembentangan kertas kerja utama oleh Menteri Wakaf Republik Arab Mesir, Syeikh Dr Usamah al-Sayyed Mahmood Muhammad Sa’ad al-Azhari.
Mukazarah kali ini mendapat penyertaan hampir 400 peserta kalangan mufti, jabatan kerajaan, wakil pertubuhan bukan kerajaan dan institusi pengajian tinggi termasuk dari Indonesia, Thailand, Kemboja, Singapura dan Brunei.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

