Sabah umum kadar zakat fitrah kekal RM7.50

Yahya (lima dari kiri) menunjukkan kad memaparkan kadar zakat fitrah bagi negeri Sabah pada tahun ini.
Yahya (lima dari kiri) menunjukkan kad memaparkan kadar zakat fitrah bagi negeri Sabah pada tahun ini.
A
A
A

KOTA KINABALU - [DIKEMAS KINI] Kadar zakat fitrah di negeri Sabah kekal pada RM7.50 bagi setiap umat Islam di negeri ini.

Pengumuman itu dibuat oleh Yang Dipertua Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS), Datuk Seri Yahya Hussin, dalam satu sidang media yang diadakan sempena Majlis Pengisytiharan Kadar Zakat Fitrah Bagi Negeri Sabah, pada Selasa.

Menurut Yahya, kadar zakat fitrah tersebut adalah berdasarkan sukatan satu gantang Baghdad yang bersamaan dengan 2.7 kilogram beras, yang merupakan jumlah dimakan oleh majoriti penduduk di negeri Sabah.

Dalam pada itu, beliau turut memaklumkan bahawa jumlah keseluruhan pungutan zakat bagi Sabah pada tahun 2024 dianggarkan sebanyak RM135,453,360.65.

"Jumlah tersebut merangkumi pungutan zakat harta sebanyak RM122,358,037.15, manakala zakat fitrah pula mencatatkan pungutan sebanyak RM12,095,323.50," jelas beliau.

Yahya turut berkongsi bahawa seramai 1,612,556 orang pembayar zakat fitrah pada 2024, mencatatkan peningkatan sebanyak 0.33 peratus berbanding tahun 2023, yang hanya merekodkan seramai 1,607,187 orang.

Sementara itu, bagi agihan zakat, MUIS berjaya menyalurkan bantuan kepada golongan asnaf berjumlah RM147,206,600.38 pada tahun lalu, yang melibatkan seramai 114,044 asnaf.

Dalam perkembangan sama, Yahya memaklumkan umat Islam di Sabah kini boleh menunaikan kewajipan membayar zakat fitrah dengan menggunakan sistem kod respons pantas (QR) menerusi Bank Islam Malaysia Berhad (BIMB BIZ).

Menurutnya, kaedah pembayaran terbaharu dengan menggunakan kod QR itu adalah bagi memudahkan umat Islam menunaikan kewajipan mereka membayar zakat.

Artikel Berkaitan:

"Ia selaras dengan matlamat kerajaan dalam usaha mendigitalkan perkhidmatan awam bagi meningkatkan kecekapan, ketelusan, dan aksesibiliti kepada rakyat," katanya.

Yahya (empat dari kiri) ketika melancarkan kaedah pembayaran zakat terbaharu menggunakan kod QR di Kota Kinabalu.
Yahya (empat dari kiri) ketika melancarkan kaedah pembayaran zakat terbaharu menggunakan kod QR di Kota Kinabalu.

Sementara itu, mengulas berhubung dakwaan tidak berasas berkaitan pembahagian zakat fitrah pada tahun lalu, Yahya berkata, beliau sentiasa memberi peringatan agar pihak MUIS melaksanakan tanggungjawab dengan sebaiknya.

"Memang kita dalam negara yang mengamalkan demokrasi ini tidak dapat mengelak daripada mendapat kritikan dan tuduhan, tetapi pihak MUIS sedaya upaya menjalankan tugasnya dengan betul, teratur dan mengelakkan daripada perkara yang tidak mengikut peraturan.

"Mungkin ada tuduhan orang itu penerima yang tidak layak, tetapi kita mempunyai prosedur dan peraturan serta syarat yang mana kita hanya beri kepada mereka yang benar-benar layak untuk menerima zakat," tegasnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!